FIFA Dah Ada ‘Anak Emas’ Baru
Nampaknya, ramai tak boleh terima hakikat dengan keputusan terbaharu diraih pemain berkenaan pada aksi pagi tadi.
Lamine Yamal buat julung kalinya dalam karier memperoleh gelaran pemain terbaik perlawanan untuk aksi kalah mati 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Gelaran itu diperoleh selepas beliau antara nadi penting yang membantu Sepanyol meraih kemenangan 3-0 ke atas Austria untuk melayakkan diri mereka ke 16 terakhir.
Tiga gol Sepanyol masing-masing diledak oleh penyerang handalan mereka, Mikel Oyarzabal dengan dua jaringan peribadi serta satu melalui Alex Baena.
Tanpa sebarang tekanan tinggi, skuad kendalian Luis De La Fuente mudah mengatasi Austria yang daripada awal gagal untuk mencipta sebarang impak menyakinkan dalam perlawanan.
Seusai perlawanan, ramai penyokong pada awalnya menganggap Oyarzabal layak diberikan gelaran pemain terbaik perlawanan, atau pertahanan kental Sepanyol, Marc Cucurella atas sumbangan jaringan mereka.
Pertikaian buat Yamal
Namun, sesuatu tak dijangka pula berlaku selepas Yamal dijulang selaku pemain terbaik perlawanan dan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Tanpa sebarang sumbangan gol dalam perlawanan, ramai mempertikaikan mengapa Yamal berhak mendapat gelaran tersebut dan penilaian juga dibuat daripada segi apa?
Statistik Yamal jika diikutkan berada pada tahap yang baik kerana beliau telah melepaskan enam percubaan dengan empat daripadanya tepat ke sasaran walaupun tidak menghasilkan gol.
Tetapi, Oyarzabal juga melakukan perkara sama dan dua daripadanya diterjemahkan dalam bentuk gol selain ‘rating’ penyerang itu juga lebih tinggi berbanding Yamal menerusi Sofascore.
Malah, sumbangan Cucurella paling jelas pada aksi tersebut kerana beliau beraksi selaku pertahanan yang memastikan Sepanyol tidak dibolosi gol, serta turut menyunbang dua ‘assist’ untuk membuktikan dirinya seimbang di bahagian serangan.
Yamal anak emas FIFA
Di media sosial, pertikaian terus dilakukan oleh penyokong kerana mereka merasakan para pemain tidak diadili sebaik mungkin dan faktor pemilihan dibuat atas dasar populariti.
Tak kurang juga ada menyifatkan Yamal sebagai anak emas FIFA terbaharu dan pemain itu terlau diangkat berlebihan pada saingan Piala Dunia kali ini.
Apapun, kita tidak dapat menafikan yang bakat muda Sepanyol tersebut betul-betul memberikan impak besar dalam permainan di posisi serangan Sepanyol menerusi kualiti peribadi dimilikinya.
Sehingga kini, Yamal telah pun merekodkan satu gol di pentas Piala Dunia 2026, ketika Sepanyol berpesta gol mengatasi Arab Saudi 4-0 pada peringkat Kumpulan H.
Aksi berdepan Portugal seterusnya, sudah tentu kelibat Yamal akan terus menjadi tumpuan utama peminat yang ingin melihat jika beliau mampu atau tidak memberi sumbangan lebih tinggi dalam perlawanan.





