FAM Digelar ‘Badan Kartun Malaysia’
Tindakan FAM baru-baru ini jelas mendapat perhatian ramai, sehingga pelbagai kritikan dan gelaran diberikan kepada mereka.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil dengan kontroversi terbaharu, dengan ianya mengundang kemarahan peminat terutama penyokong Selangor.
Ianya ekoran badan tersebut membuat keputusan menarik semula keputusan layangan kad kuning yang terdahulu dilayangkan kepada pemain Kuching City, Moses Atede ketika bertemu Negeri Sembilan.
Ini menyaksikan beliau sah diberi peluang beraksi menentang Selangor beberapa hari lalu walaupun pada awalnya dibantah kelab dan peminat yang mendakwa pemain berkenaan sudah mengumpul tiga kad kuning.
Apa kata FAM?
Selepas aksi berdepan Kuching City lalu, Selangor mengambil keputusan untuk membuat bantahan kepada FAM dengan mendakwa Atede telah mengutip tiga kad kuning sebelum menghadapi mereka.
Ini bermakna, Atede sebenarnya tidak boleh beraksi kerana menjalani hukuman penggantungan yang sudah pun tertera dalam peraturan ditetapkan FAM.
Namun, FAM kembali membalas surat tersebut menerusi perkongsian Mohd Faizal Wahid di Facebook dengan menyatakan mereka menarik semula kad kuning tersebut sekali gus mengesahkan Atede layak beraksi berdepan Selangor lalu.
“Berdasarkan laporan hasil penilaian semula yang diterima daripada Unit Pengadil FAM, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah membuat pertimbangan lanjut dan mendapati terdapat kekhilafan pengadil dalam menilai insiden berkenaan.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah memutuskan untuk menarik balik kad kuning yang telah dikenakan kepada pemain tersebut semasa perlawanan Liga Super Malaysia 2025-2026 (Perlawanan No. 99) Kuching City FC menentang Negeri Sembilan FC,” balas surat berkenaan.
FAM undang amukan peminat
Keputusan tersebut jelas mengundang amukan peminat yang tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang begitu mudah menarik semula keputusan kad kuning pada perlawanan tersebut.
“Aku ni kira mengikuti game by game team opo yg lawan SFC tp selepas game Selangor vs Kuching aku dapat info yg si moses ni tak layak bermain disebabkan dia ada 3 kad kuning sebelum ini.
“Jadi bermula episod bantahan rasmi oleh Selangor FC dan aku dan seluruh Penyokong Anak Selangor Fan Club - ASFC sendiri tertunggu tunggu keputusan rasmi dari Football Association of Malaysia dan ternyata boleh pula kad kuning ditarik balik pulak!!
“Nanti aku sent video sahih kesalahan yg memang patut dikenakan kad kuning terhadap Moses ni...FAM memang tak patut buat keputusan ni cancel kat kuning tu dan lepas ni Mcm tu boleh lah cancelkan kad merah dan gol gol yg dibatalkan selepas dapat bantahan rasmi dari pasukan lain!!
“Malaysian Football League buat kempen penyokong penuhkan stadium tapi mutu pengadilan & VAR tahap liga Sosial buat apa buang duit banyak banyak gagal gunakan VAR sebaiknya!” luah Mohd Faizal tidak berpuas hati.
Pada masa sama, pelbagai lagi kritikan di ruangan komen turut dilemparkan kepada FAM dengan ada yang turut menggelarkan badan tersebut sebagai kartun.
Apapun, lebih elok jika FAM sendiri mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan diri dan menyatakan segala sebab dengan baik untuk cuba memperbaiki keadaan.





