Faktor ‘Ampuhnya’ JDT Buat Kuching City
Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka kekal ampuh pada musim ini di saingan Liga Super.
Sehingga 15 perlawanan berlangsung, skuad Harimau Selatan masih lagi sukar untuk diatasi pasukan lawan, dengan kelab berkenaan meraih semua kemenangan bersama aksi cukup menyakinkan.
Terbaharu, skuad kendalian Xisco Munoz berjaya mengetepikan cabaran Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menerusi kemenangan 2-1.
Walaupun aksi dilihat sangat kritikal buat JDT pada awalnya, pasukan tersebut kekal tenang dan memberi fokus terbaik demi memastikan tiga mata kekal dalam tangan mereka.
Lebih menarik, JDT juga beraksi dengan 10 pemain sahaja, selepas Natxo Insa dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua menerusi kekasarannya ke atas pertahanan pelawat, Scott Woods.
Malah, JDT juga ketinggalan terlebih dahulu dengan satu gol berjaya diledak Kuching City pada penghujung separuh masa pertama, sebelum kebangkitan dibuat tuan rumah hingga meraih kemenangan.
Disiplin permainan
Jika kita lihat faktor kemenangan JDT semalam, disiplin permainan menjadi salah satu faktor utama mereka berjaya menyekat lawan dan kekal fokus sehingga ke wisel penamat.
Dengan beberapa kali peluang dinafikan, dan isu layangan kad merah, JDT kekal fokus dan membentuk disiplin permainan cukup baik di segenap posisi untuk mengatasi pasukan lawan.
Lebih menarik, Harimau Selatan menguasai permainan seolah mereka langsung tidak terjejas tanpa seorang pemain, dan memberi kesukaran buat Kuching City untuk bertahan atau menyerang.
Kuching City gagal adaptasi dalam permainan
Sepanjang perlawanan berlangsung, Kuching City menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam permainan, dan mereka seolah tiada perancangan lebih baik untuk menghadapi lawan.
Malah, mereka gagal mempertahankan kelebihan satu gol awal permainan dan membiarkan JDT lebih mendominasi perlawanan terutama pada bahagian tengah serta serangan.
Beberapa pemain termasuk import Kuching City juga gagal memberikan impak lebih baik untuk mengimbangi penguasaan lawan sehingga akhirnya mereka terpaksa akur akan kekalahan.
Siapa paling cemerlang?
Sukar untuk kita nafikan pengaruh Bergson da Silva pada perlawanan tersebut yang sentiasa bertungkus lumus di posisi serangan untuk sentiasa menghidupkan peluang serangan JDT.
Buat Kuching City, mungkin Ramadhan Saifullah patut diberikan pujian, menerusi usaha beliau yang menawarkan kreativiti dan intensiti tinggi di posisi serangan pasukan, selain satu ‘assist’ berkualiti diciptanya.
Pada pandangan anda pula, pemain mana paling menyerlah pada aksi tersebut?




