Faisal Halim Buktikan Kuasa Tuhan Atasi Segalanya
Faisal pernah jatuh, sehingga hampir bersara pada 2 tahun lalu. Siapa sangka kini beliau kembali dengan sangat cemerlang?
2025/2026, boleh kita katakan ia sebagai musim cukup cemerlang buat tonggak tempatan, Faisal Halim daripada segi prestasi telah ditampilkan.
Tiada siapa sangka sebenarnya Faisal yang stau ketika pernah berada pada titik terendah dalam hidup kini boleh kembali bangkit dan jauh mendahului pemain-pemain tempatan lain pada saingan musim ini.
Jika 2024 menjadi tahun paling gelap dalam hidup Faisal angkara mangsa jenayah tidak berhati perut, kini segalanya tampak begitu baik buat beliau menjalani hidup dan karier semula selaku pemain bola sepak profesional.
Imbas kembali detik ngeri 2024
5 Mei 2024 lalu, detik paling ngeri berlaku buat Faisal, apabila beliau disimbah asid oleh penjenayah tidak berhati perut. Kejadian tersebut turut menggemparkan seluruh rakyat Malaysia ketika itu setelah mengetahuinya.
Bayangkan, asid yang disimbah itu telah menyebabkan pemain berkenaan mengalami lecuran di kulit pada tahap 4, sehingga beberapa pembedahan perlu dibuat ke atas anak jati Pulau Pinang itu.
Selepas pembedahan tersebut, Faisal pada sesi sidang media pertamanya mengakui hendak bersara kerana trauma akan nasib yang telah menimpa dan mengundang rasa sedih dalam kalangan peminat dan rakyat Malaysia.
Dengan parut yang kekal berbekas di wajah, ramai yang mengakui ini mungkin jalan terbaik buat Faisal dan memahami mengapa dirinya mahu bersara lebih awal. Malah doktor pakar kulit sebelum ini juga menyatakan pemain tersebut mungkin sukar untuk pulih seperti sedia kala.
Magis Faisal Halim
Tatkala ramai yang menyangkakan Faisal sudah tidak akan beraksi dan memerlukan tempoh masa lebih lama, kejutan berlaku apabila pemain itu kembali mencipta penampilan buat Selangor pada 10 Ogos ketika mereka berdepan Kelantan TRW.
Lebih menarik Faisal turut mencatat hatrik sulung beliau pada musim tersebut ketika menentang kelab sama pada 9 Mac 2025. Walaupun masih kekok untuk kembali pada prestasi asal, secara keseluruhan ianya tetap menggembirakan peminat.
Bersama kem kebangsaan, pastinya ramai masih ingat akan jaringannya pada 25 Januari 2024 sebelum detik hitam melanda beliau, apabila Faisal merekodkan gol cantik ketika menentang Korea Selatan di pentas Piala Asia 2023.
Ya, pada 25 Mc 2025, Faisal kembali mencipta penampilan semula buat Harimau Malaya ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal. Sejak itu,namanya kembali teguh semula untuk kem kebangsaan dengan beberapa gol turut direkodkan.
2025/2026 unggul buat Faisal
Musim ini, Faisal telah pun berada pada prestasi terbaik beliau semula, dan dirinya cepat memberikan impak buat Selangor dalam semua kejohanan diharungi.
Catatan semasa menyaksikan Faisal telah merekodkan 35 sumbangan gol buat Selangor setelah mengharungi 44 perlawanan di pentas domestik serta Asia dengan sangat konsisten.
Malah, Faisal menjadi antara pemain tempatan paling menonjol kini, dan menjadi tunjang utama kekuatan kelab tersebut daripada segi kreativiti dan ketajaman di hadapan gawang gol.
Contohi Faisal Halim
Hampir 2 tahun sejak detik hitam itu berlaku, tiada siapa menyangkakan proses diharungi pemain tersebut untuk kembali pada prestasi sebenar sangat pantas.
Bukan sahaja berada pada prestasi menakjubkan di atas padang, tetapi Faisal turut mengajar kita erti tidak mengalah dan berusaha untuk menggapai impian yang disayangi sejak usianya kecil lagi.
Inilah contoh sebenar yang perlu diteladani tak kira buat pemain bola atau seluruh dunia. Jatuh sekali, dan bangun dengan ribuan kali lebih baik berbanding dulu.
Ianya tak mustahil, kerana Faisal Halim sudah membuktikannya. Malah, beliau menjadi bukti kuasa Tuhan mengatasi segalanya di atas dunia.






