Terengganu secara rasminya mencatat kekalahan terbaharu dalam saingan Liga Super 26/27 dengan kali ini mereka menjadi mangsa di tangan Sabah pula dalam aksi yang telah pun berlangsung semalam.
Pada aksi berkenaan, skuad kendalian Nafuzi Zain seolah buntu untuk cuba mendapatkan walau satu gol dengan disiplin pertahanan mereka juga berada pada tahap cukup mengecewakan.
Dua gol Sabah cemerlang diledak oleh Kike Cadete serta Gonzalo di Renzo pada separuh masa permainan, selain drama juga berlaku apabila penyerang Terengganu, Romel Morales turut dilayangkan kad merah.
Kekalahan itu menjadikan Terengganu kini berada di kelompok bawahan Liga SUper dengan mereka menemaptkan diri pada kedudukan ke-9 dengan mengumpul lima mata sahaja selepas mengharungi enam perlawanan dalam aksi Liga Super.
Malah, Terengganu juga kini hanya mampu mencatat satu kemenangan sahaja dengan mereka juga gagal merekodkan sebarang kemenangan sejak lima perlawanan terakhir diharungi dalam saingan tersebut pada persaingan musim ini.
Terengganu nak apa lagi?
Apa lagi yang diperlukan Sang Penyu sebenarnya musim ini? Mungkin itu persoalan yang berlegar-legar dalam pemikiran penyokong mereka yang melihat prestasi pasukan mereka berada pada tahap cukup mengecewakan.
Mereka mempunyai pengendali tempatan yang boleh kita antara terbaik negara kini, Nafuzi Zain yang terdahulu mencipta nama bersama kelab tersebut untuk menjadikan Sang Penyu berada dalam kelompok elit.
Malah, mereka juga mempunyai kedalaman skuad yang cukup bagus musim ini dengan gandingan beberapa tonggak Harimau Malaya, penyerang Piala Dunia, serta beberapa bintang naturalisasi.
Jika kita imbas pada awal musim, jelas Terengganu dilihat mampu memberi cabaran besar kepada pasukan lawan untuk mereka sekurangnya berada dalam kelompok 3 atau 5 terbaik di persaingan Liga Super.
Tetapi sebaliknya berlaku, apabila Terengganu kini dilihat masih lagi terkial-kial dalam aksi Liga Super, selain sudah pun tersingkir lebih awal di pentas Piala FA, sehingga mengundang kemarahan para penyokong.
Amukan penyokong dan rasa redha
Di media sosial, sudah kita jangka Sang Penyu menjadi mangsa amukan para penyokong yang sudah tidak tahan lagi melihat nasib pasukan kesayangan mereka kini dalam keadaan serba tidak menjadi sejak tirai saingan bermula.
Kekalahan terbaharu ini menyaksikan ada penyokong memberi cadangan supaya Sang Penyu dibubarkan sahaja demi mengelak maruah pasukan terus diaibkan pasukan lawan dan mengundang lebih banyak masalah.
Pada masa sama, ada juga yang sudah pasrah akan kekalahan tersebut dan tidak kisah dengan nasib dialami Sang Penyu pada persaingan musim ini lagi selepas melihat masa depan Terengganu semakin kabur walau kejohanan 26/27 masih panjang.
Apapun, Terengganu sendiri perlu melakukan ‘bedah siasat’ untuk melihat sejelasnya masalah dihadapi walaupun persiapan dibuat mereka cukup baik daripada segi kejurulatihan sehingga ke pemain.
Jika tidak, Terengganu mungkin akan menamatkan cabaran musim ini di kelompok bawahan, dan menyaksikan mereka sendiri menjadi faktor mengapa penyokong tawar hati untuk memberi sokongan pada masa akan datang.






