Elak Bagi Penyokong ‘Sesak Nafas’
Banyak benda lagi nak kena diperbetulkan sebelum aksi berdepan Laos.
Menjelang aksi Harimau Malaya dan Laos bagi perlawanan kedua Piala Asean esok, sudah tentu kita mengharapkan satu lagi kemenangan dapat diraih demi tiga mata penting.
Menerusi kemenangan ini, ia bakal mencerahkan lagi peluang buat Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya, sekali gus menaikkan kembali mariah bola sepak kita di pentas Asia Tenggara.
Pada aksi lalu, Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ketika berdepan cabaran cukup getir daripada Myanmar di Stadium Thuwunna, Myanmar.
Tanpa sebarang aksi persahabatan, persediaan lebih rapi, serta barisan pemain baharu dibentuk semula, ia menjadikan satu cabaran yang cukup besar kepada Tan Cheng Hoe.
Walau meraih kemenangan, jelas pelbagai mesej penting diluahkan para peminat dengan perubahan dapat dibuat pengendali itu bagi siri perlawanan-perlawanan akan datang.
Faktor pertahanan yang begitu goyah
Jika kita imbas kembali pada aksi lalu, pertahanan negara antara yang paling menonjol daripada segi kelemahan, sehingga ianya kelihatan begitu ketara sepanjang aksi berlangsung.
Posisi pertahanan kanan antara paling mengecewakan, dengan Myanmar banyak melakukan ancaman daripda bahagian berkenaan, dan gol mereka turut terhasil akibat kelemahan tersebut.
Pertaruhan Alif Ahmad di bahagian tersebut mungkin perlu dikaji semula oleh Tan Cheng Hoe, kerana kegugupan dan kegagalan dirinya untuk membaca situasi lebih pantas membahayakan pasukan kebangsaan.
Situasi lain menyaksikan persetahaman sesama pertahanan juga sangat penting, kerana beberapa kali gerakan pantas serangan Myanmar berjaya mengkucar kacirkan disiplin benteng negara untuk dicerobohi.
Azri Ghani perlu pamer karakter lebih bagus
Pada masa sama, kelibat penjaga gol negara, Azri Ghani juga antara yang mendapat perhatian penyokong menerusi aksinya yang dianggap kurang konsisten walaupun sudah berstatus senior.
Entah mengapa, beliau dilihat bergelut dengan prestasi tersendiri dengan beberapa kali aksi penyelamatannya hampir membahayakan gawang gol pasukan kebangsaan.
Apa yang perlu dilakukan beliau pada aksi akan datang adalah untuk tampil lebih yakin, dan mampu membuat tangkapan atau tepisan bersama fokus tinggi jika terus dipertaruhkan.
Kekalkan Sumareh dalam kesebelasan utama
Melihat kepada momentum skuad kebangsaan lalu di posisi serangan menerusi gerakan Mohamadou Sumareh, tentunya ramai mengharapkan dirinya mampu dikekalkan pada aksi akan datang.
Kelincahan dan kepantasan beliau dalam mengkucar kacirkan pertahanan lawan, menjadi faktor mengapa Malaysia mampu meraih dua gol dan mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.
Malah, kelibat beliau bersama Paulo Josue antara dipuji selain konsistensi G. Pavithran dan Endrick dos Santos dalam menghidupkan lagi posisi tengah serta serangan Harimau Malaya.
Apapun, Malaysia perlu mengelak daripada membuatkan penyokong sesak nafas melihat aksi tidak konsisten mereka seperti perlawanan lalu, dan menggunakan kelebihan laman sendiri untuk tampil lebih baik dan memperoleh tiga mata selanjutnya.





