Eksklusif: David Rowley Kongsi Pengalaman ‘Menarik’ Di Liga Thailand
Bekas pemain kebangsaan Harimau Malaya, David Rowley tampil dengan perkongsian menarik sepanjang pengalaman beliau beraksi di Thai League musim ini.
Untuk rekod, Rowley terdahulu menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kedua Thailand, Chanthaburi FC dan sempat merekodkan beberapa perlawanan di sana, sebelum kecederaan menimpa dirinya.
Walaupun begitu, Rowley sempat mempamerkan aksi yang sangat konsisten walaupun cuma seketika bersama Chanthaburi dengan satu gol turut direkodkan pemain serba boleh tersebut.
Kami di SB juga sempat bertanyakan khabar dan beliau tampil dengan beberapa perkongsian menarik menerusi pengalamannya di Thailand sebelum ini.
Menurut pemain berusia 35 tahun itu, ada perbezaan dirasai antara saingan Thai League dan Liga Malaysia (Liga M) daripada beberapa perkara.
Antaranya, saingan Thai League lebih banyak berpaksikan kepada teknikal hantaran-hantaran pendek berbanding kebanyakan kelab di Liga M, walaupun beraksi dalam kejohanan divisyen kedua.
Pada masa sama, Rowley akui beliau sangat teruja beraksi di Thailand, walaupun kariernya di sana tidak lama akibat kecederaan dialami yang menyebabkan jodoh pemain tersebut bersama Chanthaburi tidak berpanjangan.
“Saya suka bermain di sana, tapi empat tulang rusuk saya telah patah sebelum ini dan memberi kesan kepada paru-paru saya sendiri yang menyebabkan saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada kelab berkenaan,” ujar Rowley kepada kami.
Selain itu, Rowley turut berkongsikan salah satu fakta menarik kepada kami mengenai salah seorang rakan sepasukannya di sana sebelum itu, Kanokpon Buspakom.
“Kalau awak hendak tahu, Kanokpon ini merupakan anak kepada mendiang Attaphol Buspakom yang merupakan bekas pemain Pahang FA suatu ketika.
“Ketika era itu, mendiang sempat beraksi dengan Dato’ Dollah Salleh serta Dato’ Zainal Abiddin Hassan yang juga merupakan legenda bola sepak Malaysia,” katanya lagi.
Untuk rekod, mendiang Attaphol pernah menjadi individu penting yang membantu Pahang merangkul gelaran juara Liga Super 1995 serta mara ke pentas akhir Piala Malaysia.
Seterusnya, Rowley turut memberikan sokongan buat mana-mana pemain muda yang ingin beraksi di Thailand atau negara lain kerana ia mampu menguatkan lagi mental mereka.
“Di Thailand, kamu kena cepat beradaptasi dengan persekitaran dan mereka cuma tahu bercakap asas sahaja dalam bahasa Inggeris.
“Saya pernah bertemu Annil Vigneswaran (pemain muda Malaysia) dan saya percaya, beraksi di sana mampu membuatkan beliau mendapat manfaat terbaik nanti.”
Situasi semasa menyaksikan Rowley sudah pun pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan beliau bersedia untuk mewakili mana-mana kelab Malaysia berminat akan khidmat beliau pada musim baharu.
Kami di SB berharap supaya Rowley terus maju dalam karier bola sepak walau di mana beliau berada selepas ini.






