DPMM Berpeluang Untuk ‘Kejutkan’ Selangor
Aksi Liga Super 2025/2026 terus bersambung hari ini, dengan salah satu tumpuan membabitkan antara DPMM dan Selangor.
Kenapa kami anggap aksi ini paling mencuri tumpuan?
Pastinya kerana pasukan tuan rumah DPMM, kini berada pada prestasi cukup menyakinkan sejak beberapa perlawanan di pentas saingan Liga Super lalu.
Daripada lima perlawanan terakhir diharungi DPMM, empat daripadanya merupakan kemenangan yang cukup berharga buat pasukan berkenaan, selepas kita lihat bagaimana perlahannya momentum awal musim kelab tersebut.
Untuk musim pertama skuad kendalian Jamie McAllister di Malaysia, mereka tampak sukar menyesuaikan diri dengan baik dalam permainan, sehingga kekalahan lebih banyak dirasai berbanding menang atau seri.
Impak ditinggalkan para pemain import di atas padang bersama beberapa wakil dari Malaysia juga gagal unfuk memberikan sesuatu yang positif kepada wakil kelab dari Brunei tersebut, sehingga ada kritikan turut ditimbulkan.
Namun, perlahan-lahan pasukan itu bangkit dan mula menyesuaikan diri dalam permainan sehingga keputusan lebih positif mampu dicapai mereka dengan kemenangan demi kemenangan diraih.
Kedudukan semasa menyaksikan DPMM kini berada di tangga ketujuh liga dan sedang mengekori rapat Negeri Sembilan serta Terengganu untuk cuba berada pada tempat lebih baik.
Kali terakhir pasukan tersebut tewas pada 22 November tahun lalu di tangan Kuching City menerusi keputusan 0-1 di gelanggang pasukan lawan. Selepas itu, mereka konsisten meraih tiga mata untuk empat aksi berturut-turut.
Perkembangan positif pastinya terarah kepada pemain tempatan dan import mereka yang semakin serasi dan corak permainan berdisiplin mampu diterapkan dengan sangat baik.
Disebabkan itu, tiada yang mustahil jika mereka mampu mengejutkan Selangor pada aksi hari ini, walaupun rekod lalu menyaksikan DPMM tewas 0-3 di tangan The Red Giants pada perlawanan pusingan pertama Liga Super.
Terarah kepada kem Selangor, pasukan ini perlu memberikan tumpuan penuh kepada pergerakan pasukan lawan, dan mengelak daripada terbuai dengan rekod kemenangan lalu, jika ingin elak daripada sebarang kemungkinan.
Hadir dengan sentuhan Kim Pan-gon selaku pengendali terbaharu mereka, tentunya Kim memerlukan masa untuk menyesuaikan falsafah beliau kepada para pemain dengan tempoh lebih lama.
Melihat kepada kualiti semasa DPMM, mungkin Selangor perlu lebih berwaspada dengan penyerang mereka yang sangat berbahaya musim ini, Jordan Murray yang mampu memberikan ancaman besar kepada pertahanan lawan.
Tidak dilupakan juga akan kelibat pemain tempatan mereka seperti Azwan Ali Rahman dan Hakeme Yazid yang masing-masing berupaya meledak gol jika ada sekecil peluang terhidang dari pelbagai arah.
Pada pandangan kami, aksi hari ini bakal menjadi sangat sengit, kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk mengatasi antara satu sama lain.
Baik DPMM atau Selangor, sekecil apa pun kesilapan dibuat, masing-masing berpeluang untuk menghukum serta meraih tiga mata penting di pentas Liga Super.
Pandangan anda?




