Entah kenapa, secara tiba-tiba nama pengendali Argentina, Lione Scaloni menjadi sasaran kebanyakan peminat yang tidak berpuas hati dengan gerak kerja beliau buat juara Piala Dunia 2022.
Terdahulu, Scaloni telah pun mengeluarkan senarai rasmi pemain Argentina yang akan mengharungi aksi persahabatan di pentas antarabangsa tidak lama sahaja lagi.
Seramai 28 pemain telah disenaraikan dengan Lionel Messi turut dibawa Scaloni sebagai aksi terakhir dan salam perpisahan pemain tersebut bersama para peminat.
Walaupun sekadar mengharungi aksi persahabatan, terdapat rasa tidak puas hati dilontarkan oleh peminat kepada Scaloni selepas melihat kepada senarai pemain berkenaan.
Ini kerana, peminat menganggap ada nama pemain yang sepatutnya tidak perlu diberi peluang beraksi dan ada tonggak yang tak diberi peluang semula buat Argentina.
Mana Paulo Dybala?
Itu persoalan yang tercetus dalam kalangan peminat selepas melihat nama pemain serangan AS Roma itu selepas impak cemerlang dibawa beliau pada musim ini bersama kelab tersebut.
Jika saingan Piala Dunia 2026 lalu beliau tidak dipilih atas faktor kecederaan dialami dan isu konsistensi mungkin masih boleh diterima, tetapi untuk kali ini sukar untuk peminat menelan keputusan dibuat Scaloni.
Apatah lagi Dybala sudah pun bebas daripada siri kecederaan dan menjadi pilihan utama dalam setiap aksi diharungi dengan berada pada tahap kecergasan terbaik untuk dipilih semula.
Permulaan cemerlang Dybala
Bagi saingan musim 26/27, Dybala memulakan rentak permainan beliau dengan cukup positif bersama AS Roma dan menjadi antara watak utama dalam menggerakan siri serangan.
Selepas mengharungi 5 perlawanan musim ini termasuk di pentas UEFA Champions League (UCL), Dybala tampil aktif menyumbang 4 jaringan dengan aksi konsisten.
Kelebihan Dybala terarah kepada kreativiti beliau dalam menggerakan serangan serta berupaya bermain di beberapa posisi berbeza mengikut kesesuaian taktikal dalam permainan.
Peminat persoal tindakan Scaloni
Di media sosial, ada peminat yang menganggap Scaloni telah membuat ‘dosa’ dalam dunia bola sepak Argentina apabila beliau tidak menyenaraikan Dybala bagi aksi antarabangsa akan datang.
Sebaliknya, Scaloni menyenaraikan beberapa pemain yang tampak kurang menyakinkan seperti Nico Gonzalez yang dianggap langsung tidak memberi impak sejak aksi Piala Dunia 2026 lalu.
Malah, ada juga yang turut menyindir Scaloni yang kononnya ingin mencipta legasi baharu tetapi masih gagal memberikan minit permainan yang mencukupi buat bintang muda, Nico Paz untuk skuad senior Argentina.
Risiko Scaloni
Apapun, selepas kegagalan mereka di pentas Piala Dunia 2026 lalu untuk sekali lagi mendakap trofi kejuaraan serta tampil dengan aksi tidak konsisten, sudah ada mula mempertikaikan kualiti Scaloni selaku pengendali utama.
Peminat kini menuntut perubahan lebih baik daripada segi corak permainan serta pemilihan pemain yang lebih bagus untuk mewakili pasukan kebangsaan tersebut bagi aksi antarabangsa.
Dengan ketiadaan Messi lagi selepas ini yang menjadi tulang belakang pasukan, Scaloni sepatutnya sudah mula memikirkan siapa pemain senior bersesuaian untuk memimpin Argentina selepas ini sebagai sebuah legasi baharu.






