Divisyen 2 Indonesia Setaraf Liga Super Malaysia
Lain macam perbandingan ni, tapi itulah yang sedang berlaku sekarang untuk musim 25/26!
Saingan Liga Super musim ini semakin menghampiri ke garisan penamat dengan membawa pelbagai cerita sejak awal membabitkan banyak pasukan.
Antara topik popular pada musim ini pastinya membabitkan isu tunggakan gaji yang berlaku membabitkan beberapa kelab. Sebuah topik lama, tetapi sentiasa hangat dibincangkan.
Topik lain menarik untuk diperkatakan pula, sudah tentu membabitkan kualiti beberapa pemain import yang turut beraksi di Malaysia musim ini dengan segelintirnya dianggap sangat gagal.
Ada seperti tiada
Dengan lambakan import yang beraksi di Malaysia musim ini, ada rungutan dalam kalangan penyokong yang menganggap beberapa pasukan gagal dalam pemilihan pemain lebih berkualiti.
Salah satu kelab yang mencuri tumpuan sudah tentu terarah kepada Kelantan The Real Warriors (KTRW) yang gagal mendaftarkan pemain import lebih baik selain turut terpalit dengan isu kewangan.
Salah satu pemain KTRW paling mencuri tumpuan pula terarah kepada pertahanan import yang didaftarkan pad pertengahan musim ini dari Indonesia, Yohanes Kandaimu.
Kenapa Yohanes dipertikai?
Tidak salah untuk pihak pengurusan KTRW mendaftarkan pemain baharu sebenarnya, kerana mereka menjadi antara pasukan yang mengalami isu konsistensi di pentas Liga Super.
Tetapi, kehadiran Kandaimu mengundang resah dalam kalangan penyokong kerana rekod kelab lama beliau beraksi di saingan Championship (divisyen kedua) Indonesia.
Sementelah, Kandaimu sendiri lebih banyak berada di bangku simpanan musim ini bersama Persiku Kudus daripada beraksi sebelum mewakili KTRW.
Tiada impak bersama KTRW
Sepanjang bersama KTRW musim ini pula, tiada sebarang impak positif atau nilai tambah dibawa oleh pemain berusia 30 tahun tersebut untuk pasukan berkenaan di bahagian pertahanan.
Daripada segi keupayaan individu, pemain tempatan lain dianggap lebih bagus berbanding Kandaimu yang mengalami isu penyesuaian diri di Malaysia, selain kualiti peribadi juga tidak begitu menyakinkan.
Lebih parah, Kandaimu gagal membantu KTRW meraih sebarang kemenangan atau seri di Liga Super selepas beraksi sebanyak empat perlawanan, dengan terbaharu mereka diaibkan Selangor melalui kekalahan 0-6 di halaman sendiri.
Liga Super setaraf divisyen 2 Indonesia
Di media sosial, beberapa penyokong menganggap kualiti Liga Super mungkin setara pentas divisyn kedua Indonesia sahaja pada pandangan pengurusan KTRW.
Dengan kualiti pemain yang langsung tidak bagus, kehadiran import-import sebegini hanya merugikan kelab serta peluang untuk anak tempatan lebih bagus diberi peluang beraksi.
Tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) giat menaikkan taraf bola sepak Malaysia dengan standard lebih tinggi, pengurusan KTRW dan beberapa kelab lain seolah konsisten untuk mundur.
Jika sikap sebegini diteruskan KTRW, jangan salahkan penyokong untuk bertindak ‘memulau’ kelab berkenaan, kerana kecewa akan gerak kerja dilakukan.
Pada akhirnya, kualiti liga sendiri tidak meningkat, disebabkan banyak kelab lebih gemar membazir dalam mendapatkan import-import tidak berkualiti.






