Skuad kebangsaan kita dah pun selesai harung dua aksi persahabatan Tier 1 baru ni di China, dengan kita tengok prestasi depa ada la turun naik. Dapat satu kekalahan kat tuan rumah, dan sauk satu kemenangan masa lawan Yaman. Dengaq pada kita mungkin tak berapa okay, tapi untuk barisan kejurulatihan, lega dah.
Mau tak lega, sebelum depa berlepaih pi China, Tan Cheng Hoe hadap beberapa masalah dengan daripada awai, ada barisan pemain utama tak lengkap. Kemudian ada pulak tonggak-tonggak kendalian dia tak dapat pelepasan sebab masalah kecederaan. Meliu kepala Tan dan staf kejurulatihan nak rombak.
Tapi, nak kata skuad yang dia bawak ni betui teruk pun dak jugak. Macam beberapa pemain utama negara termasuk Dion Cools dan Haziq Nadzli masih dibawa dan diberi pelepasan untuk harung dua aksi persahabatan kali ini. Kira okay jugak tu walaupun tak berapa lengkap.
Sepanjang pi sana, Malaysia dah catat:
Kalah 0-2 vs China
Menang 2-1 vs Yaman
Yang kita perasan, kali ni masalah ketara negara dalam dua aksi persahabatan ni pada posisi pertahanan. Ya, memang ada Cools. Tapi takkan semua benda hangpa nak harap ke dia sorang sepanjang aksi berlangsung. Kalau ikutkan, kualiti beliau ni memang betui ‘cools’ dan hebat macam biasa untuk negara.
Yang kita dok risau, hat pemain tempatan lain dibawak pi tu. Rasa macam tak layak dah main dengan negara, tapi itulah nak cakap pun serba tak kena, kejurulatihan sendiri pun mesti ada alasan, kita pun tau sebab apa.
Tandusnya pertahanan tempatan berkualiti
Kita tolak pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang harungi jadual padat nak lepaskan pemain depa, dan tonggak-tonggak Selangor dihantui masalah kecederaan, sebenaqnya kita kena akui kelab-kelab domestik lain tak banyak gunakan lagi pertahanan tempatan.
Kalau ada pun, kita boleh tengok kualiti depa memang masih tak setara mana tambah pengalaman untuk hadap ‘pace’ peringkat antarabangsa, selain dah lepas pada ‘peak’ terbaik, yang kalau bawak pi pun silap tambah teruk.
Kita ambil contoh, Tan sebenaqnya dah dapat pertahanan daripada kelab yang berada dalam kelompok lima terbaik setakat ni dalam Liga Super dengan kita tolak siap-siap, JDT, Selangor, dan DPMM Brunei. Pemain daripada Kuching City dan Sabah masih lagi dipanggil untuk aksi antarabangsa macam Rodney Celvin (Kuching City), Ariff Farhan (Kuching City) dan Dominic Tan (Sabah).
Itu ja paling baguih kita ada. Sambil Malaysia selitkan sikit beberapa pertahanan kelab lain yang pernah beraksi untuk negara dari Terengganu (Ubaidullah Shamsul, Azam Azmi, dan Safwan Mazlan) serta Quentin Cheng dari Selangor. Selebihnya dari luaq negara, Dion Cools (Cerezo Osaka), serta Daniel Ting (Ratchaburi FC).
Itu ja kita ada sebenaqnya. Nampak kita punya ‘pool’ pemain tempatan untuk posisi pertahanan sekarang cukup kecik untuk skuad senior negara yang berada pada tahap terbaik dan berpengalaman untuk layakkan diri depa bersama Harimau Malaya. Sebab tu bila nak salahkan Dominic Tan dan Rodney Celvin sangat pun tak boleh. Depa ja ada kriteria yang sekurangnya ‘BOLEH’ untuk wakili negara.
Salah siapa sebenaqnya?
Tang sini la persoalan yang timbui, nak salahkan sapa? Kelab yang gunakan pemain import di posisi pertahanan semua? Tak boleh jugak, kelab bergantung dengan keputusan yang baik sebab depa perlukan penyokong nak pi stadium. Kalau masa tu la depa nak bangunkan pemain tempatan masa saingan dok berjalan pun haru, kalau dapat keputusan tak sedap depa jugak dipersalahkan penyokong. Tak kena gaya, lalat dengan burung ja pi stadium sokong.
Nak salahkan pemain tempatan? Pun sama serba tak kena jugak, depa sendiri nak berkembang pun susah bila jurulatih lebihkan import berbanding bakat tempatan, minit permainan tu kurang untuk depa dapatkan keyakinan terbaik atas padang.
Kadang, bila diberi peluang pula ada beberapa kesalahan yang depa buat, jurulatih tak boleh ambik risiko berterusan turunkan pemain lagu tu, kesannya dapat la ke import yang sebenaqnya pun tak la tara mana sangat. Lebih kurang saja.
Kebergantungan warisan dan naturalisasi
Suka atau dak, kita ni masih lagi memerlukan pemain warisan yang berkualiti macam Brad Tapp dan Dion Cools la ni untuk posisi utama pertahanan negara. Depa dah pun buktikan yang depa berada setahap lebih tinggi daripada anak tempatan dalam saingan domestik lain.
Selebihnya, kita juga perlukan tenaga naturalisasi yang dah terbukti macam Shane Lowry dan Giancarlo Gallifuoco dengan depa ni sebenaqnya dah cukup syarat nak main bersama skuad kebangsaan. Kualiti fizikal, permainan, dan pengalaman depa pun dah terbukti.
Hangpa boleh kata apa saja pasai pemain warisan dan naturalisasi yang kononnya bukan jati diri negara, tapi ini saja langkah terbaik hat kita ada sekurangnya la ni untuk bermain bersama skuad kebangsaan, bukan sebab anak tempatan kita tak baguih, cuma tak nampak melepasi syarat wakil Malaysia lagi. Satgi kalau pilih tak kena gaya, jadilah mangsa maki hangpa kat media sosial.
Sampai satu tahap, kita mungkin jadi macam Singapura yang tandus bakat tempatan berkualiti sampai kena sesah lagi Safuwan Baharudin dan Hariss Harun yang dah pun berusia 35 tahun di pentas antarabangsa. Itu ja paling okay dok ada.
Kita yang negara lebih besaq dan ada lambakan bakat tempatan setiap tahun pun masih sama susah nak hasilkan seorang pertahanan tempatan yang betui punya baguih untuk dipertaruhkan bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa sekarang.







