Di Sebalik Tangisan Gembira Jimenez
Beliau pernah jatuh, pada sudut paling rendah. Dan Jimenez kini kembali bangkit.
Penyerang kebangsaan Mexico, Raul Jimenez antara paling mencuri tumpuan pada aksi pertama Piala Dunia 2026 dalam kalangan para peminat bola sepak kini.
Terdahulu, Jimenez menjadi antara tonggak yang memastikan Mexico meraih kemenangan sulung pada kempen Piala Dunia kini, setelah kejayaan mereka menewaskan Afrika Selatan menerusi keputusan 2-1.
Menjadi antara tuan rumah pada saingan kali ini, Mexico menggalas tanggungjawab cukup besar untuk memastikan mereka mampu melangkah dengan lebih jauh.
Menerusi kemenangan sulung ini, sudah tentu moral mereka berada pada tahap tertinggi untuk terus merekodkan keputusan positif pada aksi akan datang.
Salah seorang pemain tumpuan pada aksi pagi tadi terarah kepada penyerang berpengalaman Mexico, Jimenez yang mencuri tumpuan ramai peminat.
Tangisan gol Jimenez
Pada aksi pagi tadi, Jimenez dilihat begitu beremosi setelah meledak gol kedua perlawanan yang memastikan kemenangan buat pasukan tuan rumah pasa aksi pertama mereka.
Tangisan Jimenez itu bersebab, kerana ia merupakan gol sulung penyerang itu sepanjang mengharungi empat kempen Piala Dunia bersama negara berkenaan.
Pada usia 35 tahun, ianya dianggap sebagai suatu pencapaian individu yang cukup manis biay Jimenez, apatah lagi beliau merekodkan gol di hadapan para penyokong kesayangan sendiri.
Dengan jaringan itu, penyerang berkenaan kini sudah merekodkan 45 gol secara keseluruhan daripada 126 penampilan beliau sejak tahun 2013 lalu.
Keupayaan Jimenez bersama Mexico pada aksi pagi tadi jelas masih berada pada tahap terbaik dan beliau tampak sangat bersemangat menjalankan tugas untuk negara sebelum ditukarkan pada penghujung permainan.
Kisah jatuh bangun Jimenez
Sebelum tirai saingan Piala Dunia 2026 bermula, Jimenez telah kehilangan ayah tercinta dek kerana kanser pankreas.
Raul Jimenez Vega merupakan individu penting yang sebelum ini membangunkan karier pemain tersebut sejak masih kecil sebelum kini bergelar antara bintang dunia.
Karier Jimenez sendiri sebelum ini hampir tamat lebih awal, selepas beliau mengalami kecederaan serius pada bahagian tengkorak pada tahun 2020 lalu akibat perlanggaran bersama David Luiz.
Kesannya, pemain ini terpaksa berehat dengan cukup lama sebelum kembali bangkit dan memasang tekad untuk beraksi di atas padang semula dalam karier profesional.
Tatkala ramai menyangkakan karier Jimenez bakal berakhir ketika itu, tiada siapa menyangka beliau kembali bangkit dan berjaya meledak gol kini di pentas Piala Dunia 2026.
Perjalanan Jimenez untuk terus cekal beraksi wajar dijadikan teladan, kerana usaha dilakukannya berjaya membuahkan hasil walaupun kurang diberi tumpuan ramai.





