Dembele Dah ‘Perdajal’ Pemain Ligue 1 25/26
Lain macam kritikan keras diberikan kepada Dembele kali ini. Tapi itulah, betul juga.
Nama Ousmane Dembele secara tiba-tiba menjadi sebutan ramai penyokong kini di media sosial, selepas kejayaan beliau merangkul gelaran Pemain Terbaik Ligue 1 musim ini.
Terdahulu, Dembele berjaya merangkul gelaran tersebut untuk dua musim berturut-turut, walaupun mengharungi saingan kali ini dengan sedikit perlahan.
Ya, itu yang dipertikaikan sesetengah penyokong termasuk legenda bola sepak, Jamie Carragher mengenai kejayaan dirangkul oleh Dembele pada musim ini.
Apa kata Carragher?
Menurut beliau, kebanyakan orang tak melihat saingan Ligue 1 dengan lebih serius, termasuk anugerah yang telah diberikan kepada para pemain terutama kepada Dembele.
“Macam mana ada individu yang mendapat anugerah pemain terbaik Ligue 1, sedangkan beliau jarang dibawa turun musim ini?
“Kita bercakap tentang pemain yang hanya dibawa turun dalam kesebelasan utama sebanyak sembilan kali sahaja musim ini. Sembilan. Itu bukan dominan dah, tapi cipta cameo sahaja di pentas Ligue 1,” ujar beliau.
Pada masa sama, Carragher turut mempertikaikan penampilan Dembele yang hanya membuat penampilan penuh pada April lalu selepas menjalani pemulihan daripada kecederaan, sedangkan saingan liga bermula sejak Ogos lalu.
Statistik Dembele sendu
“Hanya 10 gol dan 6 bantuan jaringan direkodkan Dembele di pentas Ligue 1, itu bukannya berada dalam lingkungan 5 penjaring terbaik atau penyumbang jaringan terbanyak.
“Ada pemain lain yang menyumbang rekod jaringan lebih banyak, malah ada dalam kalangan mereka beraksi lebih kerap serta memberikan impak besar dalam permainan berbanding Dembele.
“Nampak sangat Ligue 1 ni tak hormatkan pemain yang menyumbang jauh lebih besar buat kelab masing-masing dan beraksi lebih 30 perlawanan tanpa henti bersama impak lebih menyakinkan jika dibandingkan beliau.
“Sebab itu saya kata Ligue 1 ni kelakar. Kalau tengok Serie A, Premier League, atau La Liga, benda-benda seperti ini tak akan berlaku. Tak pernag ada pemain yang hilang beberapa bulan, main dengan masa terhad, statistik entah apa-apa, tiba-tiba rangkul gelaran pemain liga,” luah beliau lagi.
Masih ramai turut pertikai kemenangan Dembele
Selain Carragher, beberapa penyokong di media sosial turut tidak berpuas hati akan kemenangan Dembele dan menganggap lebih ramai tonggak lain layak mendapat gelaran pemain terbaik Ligue 1.
Selain itu, beberapa sindiran turut dilontarkan kepada pemain berkenaan jika beliau turut melayakkan diri dalam senarai akhir Ballon d’Or kelak walaupun jelas Dembele sebenarnya tidak layak.
Malah, Carragher sendiri tampil menyuarakan tentang perkara tersebut dan menganggap gelaran Ballon d’Or tidak lagi berprestij jika pemain seperti Dembele dicalonkan walau statistik tidak menyakinkan.
Apapun, pertikaian sewajarnya diberikan kepada Ligue 1 yang menilai semula pemain terbaik untuk diberi gelaran pemain terbaik pada musim hadapan, kerana itu sedikit sebanyak mencalarkan maruah saingan tersebut di mata dunia.





