Declan Rice Dianggap Lebih Hebat Berbanding Bruno Fernandes
Perbandingan yang dibuat oleh seorang legenda bola sepak ini dianggap cukup menarik.
Legenda bola sepak Arsenal, Patrick Vieira memberi kritikan keras kepada mana-mana individu yang kini sedang menjulang nama tonggak Manchester United, Bruno Fernandes.
Terdahulu, Bruno dianggap sebagai calon paling sesuai musim ini untuk memenangi anugerah PFA Player of The Year selepas tampil cukup menyakinkan di pentas English Premier League (EPL).
Musim ini, Bruno bukan sahaja mengekalkan konsistensi, malah beliau meningkatkan lagi kualiti permainannya menjadi lebih baik terutama daripada segi sumbangan ke arah gawang gol.
Statistik Bruno menyakinkan
Bersama Man United musim ini, Bruno sudah pun merekodkan 28 sumbangan gol di pentas domestik, setelah mengharungi 33 perlawanan dengan menyakinkan.
Selaku pemain tengah serangan, Bruno memainkan peranan beliau dengan sangat efektif terutama di pentas EPL untuk menjadi bintang paling banyak mencipta ‘assist’ kini berbanding pesaing lain.
19 sumbangan gol kini telah direkodkan Bruno dan beliau juga hanya menghitung hari kini untuk memintas rekod Thierry Henry dan Kevin de Bruyne selaku pemain paling banyak mencipta ‘assist’ dalam satu musim.
Kritikan Vieira kepada Bruno
Walaupun tampil cemerlang, Vieira menganggap Bruno sebenarnya masih belum layak untuk memenangi anugerah POTY musim ini dan menganggap Declan Rice sewajarnya mendapat gelaran berkenaan.
Tegas Vieira, penilaian yang dibuat kepada pemain musim ini tidak boleh bergantung kepada statistik sahaja, tetapi membabitkan impak mereka sendiri secara menyeluruh di atas padang.
Malah, beliau menganggap Declan lebih layak memenanginya jika Arsenal berjaya merangkul trofi kejuaraan EPL musim ini bersama The Gunners.
Pilihan lain berbanding Bruno
Pada masa sama, Vieira menganggap pemain-pemain lain juga sebenarnya lebih layak mendapat anugerah tersebut jika dibandingkan tonggak utama Portugal itu di pentas tertinggi England musim ini.
Pemain seperti Erling Haaland, Rayan Cherki, dan Antoine Semenyo dianggap berhak mendapat gelaran tersebut jika Arsenal tidak menjadi juara EPL.
Vieira mempersoalkan perkara ini kerana beliau menganggap Bruno hanya bermain di pentas domestik sahaja musim ini jika dibandingkan pemain-pemain lain yang turut berhempas pulas dalam kejuaraan UCL.
Maka, ini merupakan sesuatu yang tidak adil jika anugerah POTY diberikan kepada Bruno yang tidak perlu bersusah payah mengharungi banyak aksi berbanding pesaing-pesaing lain.
Betul dan salah
Jika kita lihat pada pandangan Vieira, sebenarnya ia tidak salah kerana beliau memfokuskan kepada impak dan konsistensi pemain di atas padang yang mampu ditawarkan pemain buat pasukan.
Namun, bola sepak moden sekarang juga lebih banyak berpaksikan kepada angka statistik dicipta oleh pemain, dan Bruno sudah pun membuktikannya untuk gelaran tersebut.
Apapun, baki saingan masih lagi ada dan segalanya bakal dimuktamadkan nanti sebaik sahaja tirai EPL musim 25/26 ditutup untuk kita mengetahui siapa layak merangkul anugerah POTY.






