Dasar ‘Bodoh Piang’ Amerika Syarikat Rosakkan Seri Piala Dunia 2026
Macam-macam benda buruk kedengaran sebelum tirai saingan bermula. Teruk betul Amerika Syarikat ni!
Saingan Piala Dunia 2026 akhirnya bakal membuka tirai tidak lama sahaja lagi dengan ianya menghimpunkan banyak negara dengan para pemain handalan mereka untuk dipertaruhkan.
Untuk saingan 2026 kali ini, cerita yang kedengaran lebih banyak buruk berbanding yang indah dengan membabitkan pihak tuan rumah, Amerika Syarikat.
Di media sosial, pelbagai kritikan kini sudah diberikan kepada Amerika atas sikap layanan dan persediaan dilakukan mereka kurang menyakinkan untuk saingan berprestij ini.
Malah, perbandingan juga sudah dibuat dengan pihak tuan rumah edisi 2022 lalu, Qatar jauh lebih baik daripada segi persediaan dan sikap mesra mereka untuk pasukan dan para penyokong dari luar.
Di sini, kami lampirkan beberapa isu negatif daripada Amerika Syarikat sebelum tirai saingan Piala Dunia 2026 berlangsung sejak beberapa hari lalu lagi.
Penyerang Switzerland ditahan
Breel Embolo yang merupakan antara pemain serangan Switzerland antara yang terawal menjadi mangsa pertama, selepas beliau ditahan daripada memasuki Amerika Syarikat.
Isu yang berlaku apabila visa beliau disemak semula dan Embolo terpaksa menunggu terlebih dahulu sebelum sertai rakan sepasukan lain pada hari esoknya.
Pemain Iraq disoal siasat
Walau sudah diketahui sebagai pemain bola sepak yang menyertai kejohanan tersebut, penyerang Iraq, Aymen Hussein tetap ditahan selama tujuh jam sekurangnya untuk menjalani sesi soal siasat sebelum dilepaskan.
Beliau ditahan selepas kem Iraq sampai ke Amerika Syarikat, dan ya isu ini mendapat liputan ramai penyokong dan pemerhati bola sepak dunia.
Isu visa buat Iran
Iran antara mangsa cukup terkesan kerana mereka terpaksa berdepan dengan proses visa cukup panjang di konsulat Amerika Syarikat yang berpangkalan di Turkiye.
Mereka hanya dibenarkan untuk memasuki Amerika Syarikat pada hari perlawanan sahaja selain 15 anggota delegasi negara itu gagal memperoleh visa.
Pengadil rasmi gagal sertai Piala Dunia
Impian rakyat Somalia untuk melihat pengadil bola sepak dari negara itu, Omar Abdulkadir Artan bertugas di pentas Piala Dunia tidak kesampaian, apabila beliau tidak diberikan visa oleh Amerika Syarikat walaupun dirinya mempunyai pasport diplomatik.
Afrika Selatan lewat terima visa
Negara tersebut turut tidak terlepas menjadi mangsa kelemahan sistem Amerika Syarikat, apabila mereka tiba lewat di sana kerana sebahagian delegasi tidak menerima visa tepat pada masanya.
Layanan buruk buat Senegal
Staf dan pengurusan Senegal mendakwa mereka dilayan buruk dan tidak adil oleh penguatkuasa Amerika Syarikat, apabila kem negara itu dipaksa menanggalkan kasut serta menjalani pemeriksaan keselamatan dengan cukup lama.
Uzbekistan diperiksa anjing pengesan bom
Ya, itu antara kes yang sangat teruk selepas skuad tersebut terpaksa menjalani pemeriksaan keselamatan yang dianggap tidak logik dan rakaman insiden itu tular di media sosial seluruh dunia.
Penyokong Scotland hadapi isu ESTA
ESTA atau lebih dikenali sebagai sistem kebenaran perjalanan elektronik yang digunakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara tertentu seperti Scotland tanos perlu menggunakan visa.
Tetapi masalah berlaku buat sebahagian penyokong Scotland selepas mereka kehilangan kelulusan ESTA beberapa hari sahaja lagi sebelum mereka berlepas ke Amerika Syarikat tanpa sebab kukuh.
Selebihnya lagi, ramai penyokong dari pelbagai negara mengalami isu kerugian kewangan atas sebab visa mereka ditolak walaupun kebanyakan sudah membayar sewa penginapan dan tiket perlawanan.
Ada dakwaan juga menyatakan harga kemudahan kenderaan awam di sana mencatat peningkatan sangat tinggi dan tidak mesra kepada pelancong dari luar.





