Dari Inter ke PSSI: Kesilapan Erick Thohir Yang Berulang
Kesilapan Erick Thohir yang gagal mendelegasi tugas & mengambil terlalu banyak tanggungjawab berjangkit dari Itali ke Indonesia.
Dua hari selepas Affan Kurniawan maut digilis kenderaan polis semasa demonstrasi, Erick Thohir memuat naik gambar bunga mawar layu, diikuti gambar Prabowo melawat keluarga mangsa. Mesej simpati itu bagaimanapun tidak menyentuh hati rakyat. Di ruangan komen, ramai menganggap ia hanya ‘pencitraan’.
Sentimen rakyat Indonesia kepada Thohir pada ketika ini sangat berbeza berbanding ketika 2019 dahulu. Ketika beliau dilantik sebagai Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUNM) oleh Presiden Joko Widodo pada Oktober 2019, satu Indonesia optimis. Popularitinya melonjak hingga dilantik sebagai Presiden PSSI pada 2023. Namun pada 2025, sokongan terhadap Thohir mula merosot — di PSSI mahupun di BUMN.
Thohir sebagai pemilik Inter
Peluang untuk membeli saham majoriti Inter Milan hadir di pangkuan Erick Thohir pada lewat 2013 apabila kantung pemiliknya Massimo Morati semakin kering. Inter pula sudah kemarau trofi selama tiga musim berturut-turut. Nilai kelab pula jatuh hampir 30%, dari USD215 juta (RM908.1 juta) kepada USD151 juta (RM637.8 juta). Thohir nampak peluang ini dan terus membeli 70% saham Inter.
Visi Thohir di Inter adalah mengubah struktur kewangan Nerazzurri supaya menjadi lebih mampan. Malangnya (bagi penyokong Inter), ini sahajalah sumbangan Thohir di Inter. Di Indonesia, Thohir dianggap ‘penyelamat Nerazzurri’. Tetapi lain persepsinya di Itali. Seorang penyokong Inter menyimpulkan dengan tepat tempoh pemilikan Thohir dengan komen:
“Dari segi bola sepak (sporting), dia teruk. Tapi dia berjaya buat apa yang dia nak buat iaitu jual kelab kepada pemilik lain dengan keuntungan.”
Pada Januari 2014, beberapa bulan selepas Thohir menjadi presiden kelab, kumpulan penyokong Curva Nord menegurnya dan mempersoalkan komitmennya:
“Kami tertanya-tanya kelab kami ini ada presiden ke tidak? Kami tak pasti apa yang (Thohir) fikir. Yang pasti, kami tak nak (Thohir) terlalu banyak senyum dan sebut perkataan ‘bisnes’ selalu sangat.”
Selepas tiga tahun bergelar pemilik Inter, Thohir akhirnya berjaya mendapat apa yang dikehendakinya apabila Suning Group membeli hampir 70% saham Inter pada harga USD326.8 juta (RM1.38 trilion). Ketika Thohir membeli Inter, nilai kelab itu cuma USD151 juta (RM637.8 juta). Apabila Thohir menjual sebahagian sahamnya kepada Suning Group, nilai Inter telah meningkat kepada USD459.6 juta (RM1.94 trilion).
Thohir sebagai Menteri
Selepas menjual Inter, Thohir pulang ke Indonesia, untuk menjawat tugasan mencabar sebagai Menteri BUMN di bawah Presiden Joko Widodo pada Oktober 2019.
BUMN, atau Badan Usaha Milik Negara dalam Bahasa Indonesia, ibarat syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies atau GLC) di Malaysia. Seperti GLC di Malaysia, BUMN sepatutnya menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi Indonesia, mencipta peluang pekerjaan dan menjadi instrumen kepentingan strategik kerajaan.
Tetapi realitinya, BUMN menjadi lubuk korupsi, salah pengurusan, ghanimah politik — meskipun mendapat subsidi besar dari kerajaan. Golongan eksekutif elit yang bekerja di BUNM tampak hidup mewah meskipun syarikat mereka rugi.
Selepas menjadi Presiden, Prabowo Subianto menetapkan sasaran baharu kepada BUNM. Menurutnya, BUNM mesti boleh menyumbang IDR800 trilion (RM206 bilion) setahun kepada bajet negara. Kenapa? Kerana secara kolektifnya, BUMN sedang memegang lebih RM4 trillion aset negara. Jadi agak adil sebenarnya untuk Prabowo menetapkan sasaran pulangan ~5% setahun daripada BUNM. Tetapi ada satu masalah: realiti tak seindah kira-kira di atas kertas.
Menurut data:
Terdapat 1,046 entiti BUNM (meliputi subsidiari dan syarikat gabungan), tetapi 97% dividen kepada kerajaan cuma datang dari 8 syarikat.
52% BUNM beroperasi dalam kerugian, di mana jumlahnya mencecah RM13 bilion setiap tahun.
Pada 2024, BUMN hanya mampu menyumbang RM22 bilion kepada kerajaan. Jadi untuk memenuhi sasaran Prabowo, BUNM perlu menaikkan sumbangan sebanyak 10x.
Kegagalan BUNM inilah yang menyebabkan Thohir menjadi sasaran kecaman netizen Indonesia.
Dari segi optik politik sendiri pun, Thohir nampak tidak meyakinkan. Abangnya, Garibaldi Thohir masih mengetuai Adaro Energy, syarikat pengeluar arang batu kedua terbesar di Indonesia. Si adik mengetuai kementerian yang memantau BUMN, si abang mengetuai salah satu BUMN terbesar di Indonesia. Adakah ini imej yang meyakinkan pelabur dan rakyat bahawa Thohir mampu membersihkan BUNM dari korupsi?
Thohir sebagai Ketum
Sebagai Ketum PSSI, visi Erick Thohir adalah untuk mentransformasikan bola sepak Indonesia. Bermula dengan transformasi struktur (contoh: mewajibkan kelab Liga 1 untuk memainkan pemain bawah-23, memperkenalkan VAR, membangunkan Pusat Latihan di Nusantara, rancangan mewujudkan Liga Putri), Thohir kemudiannya mengenalpasti keperluan untuk memperkuatkan skuad senior (lelaki dan wanita) dengan pemain naturalisasi.
Strategi ini membuahkan hasil dalam jangka masa pendek. Di bawah kendalian Shin Tae-yong (STY), skuad B-23 Indonesia telah berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024. Skuad Garuda Muda hampir-hampir layak ke Olimpik 2026 secara merit sebelum tewas dalam perlawanan playoff kepada Guinea.
Di peringkat senior, Indonesia berjaya lolos ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026. Ranking FIFA Tim Garuda naik 26 anak tangga ranking dunia FIFA, dari kedudukan 151 ke 125, antara Disember 2022 hingga November 2024. Tiada sebab untuk Thohir mengubah apa-apa, kan?
Salah.
Pada 6 Januari 2025, PSSI memecat STY daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih. Resume STY (juara AFC Champions League dengan Seongnam dan mengetuai Korea Selatan dalam kempen Piala Dunia 2018) mungkin lebih bagus daripada penggantinya, tetapi STY bukan legenda bola sepak Belanda. Ketika Patrick Kluivert diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu, Thohir memberitahu Kluivert mampu meyakinkan pemain Belanda untuk melupakan jersi Oranje, dan menyarung jersi Merah Putih.
Apapun justifikasi PSSI dalam isu pemecatan STY ini, ia telah menjadi titik mula ketidakpuasan hati penyokong bola sepak Indonesia kepada Thohir — sehingga ke hari ini. Mereka merasakan PSSI tidak berlaku adil kepada STY.
Setiap kali Indonesia beraksi buruk atau mencatat keputusan yang tidak ideal, akaun media sosial Thohir akan dihujani kritikan, meme, sindiran dan amarah penyokong (lihat reaksi netizen Indonesia selepas dibelasah 1-5 oleh Australia, 0-6 oleh Jepun dan seri 0-0 dengan Laos). Thohir dan Kluivert perlu berdoa keputusan lebih positif menjelang perlawanan menentang Arab Saudi dan Iraq semasa kelayakan pusingan keempat kelayakan pada Oktober 2025 nanti untuk mengelak kritikan sama berulang.
‘Kebolehan’ multitasking Thohir
Adalah normal bagi seseorang pemimpin untuk mendukung pelbagai tugasan pada satu-satu masa. Inilah situasi Thohir ketika ini. Tetapi untuk melaksanakan semua kerja dengan efektif, anda perlu pandai mendelegasi tugas. Thohir tidak. Inilah kesilapan yang Thohir lakukan semasa bergelar Presiden Inter. Dan kesilapan sama ini jugalah yang sedang beliau lakukan.
FIFA sampai terpaksa memberi amaran supaya beliau melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil. Thohir akur dengan teguran FIFA. Tapi pengganti yang dilantik, Yoshimi Ogawa dari Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), diakui Thohir sendiri “tidak faham sepenuhnya bola sepak Indonesia.” Jadi kenapa beri tugas penting pada individu sebegitu?
Pada Mac 2023, ketika tragedi kebakaran di depot Pertamina di Plumpang yang mengorbankan 15 nyawa orang awam, Thohir dikritik kerana sedang sibuk dengan acara Nahdlatul Ulama dan berkempen pemilihan Presiden PSSI ketika waktu kejadian. Menurut media, Thohir adalah Menteri BUNM yang ‘paling tidak fokus’. Bagaimana anda boleh mengurus beratus-ratus BUNM dengan berkesan jika masa anda perlu dibahagikan dengan tugas sebagai Pengerusi Nahdlatul Ulama dan Presiden PSSI?
Apa yang berlaku kepada Thohir sekarang adalah kes klasik ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Thohir sedang mengulangi kesilapan yang sama di Inter: gagal mendelegasi kepada orang betul, terlalu banyak tanggungjawab, dan terputus dari realiti padang. Jika BUMN terus rugi, dan sokongan terhadap PSSI mula merosot, rakyat Indonesia pasti tahu siapa yang perlu dipersoalkan.



