Setiap musim, akan ada satu atau dua kelab yang bergelar pasukan belasahan di saingan Liga Super, dan kali ini gelaran tersebut terarah kepada Kelantan The Red Warrior (TRW).
Ketika pandangan ini dikeluarkan, pasti ada yang tidak berpuas hati terutama sekali penyokong TRW yang menganggap kami sengaja ingin menjatuhkan imej mereka dengan pelbagai alasan tersendiri.
Tetapi itulah fakta. Anda tidak boleh menafikannya selepas melihat perjalanan awal pasukan tersebut di saingan Liga Super 2026/2027 ketika berdepan kelab-kelab lain yang lebih stabil.
Macam keputusan terbaharu, skuad kendalian Irfan Bakti ini konsisten merekodkan kekalahan mereka kepada Star City dengan keputusan 2-5 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Enam perlawanan diharungi, dan enam kekalahan juga dirasai pasukan tersebut yang masih lagi kempunan untuk mendapatkan tiga mata berharga mereka pada saingan musim ini.
Statistik yang cukup teruk
Kenapa kami kata TRW sebagai pasukan belasahan? Adakah ini tohmahan liar atau kami sengaja mencipta isu untuk memburukkan imej pasukan tersebut sahaja?
And lihat sendiri statistik mereka pada musim ini yang boleh kita katakan cukup teruk walaupun baru mengharungi enam aksi Liga Super dan dua dalam saingan Piala FA.
Di pentas Liga Super musim ini, TRW sudah pun dibolosi sebanyak 29 gol dalam enam perlawanan diharungi. Tiada mana-mana kelab lain selain mereka sahaja sudah pun melepaskan lebih 20 gol.
Untuk Piala FA, ada berita manis sedikit apabila mereka berjaya mengikat Kuching City seri 0-0 pada aksi pertama 16 terbaik. Pada perlawanan kedua, segalanya kembali seperti asal, tewas 1-5 di tangan lawan.
Jika kita rangkumkan semua lapan perlawanan domestik musim ini pula, pasukan dari Pantai Timur ini sudah tewas empat kali dengan rekod bolos lima gol dan ke atas.
Bagaimana dengan rekod gol? Mereka berjaya memperoleh tujuh gol daripada lapan perlawanan diharungi. Nampak okey apabila TRW masih mampu merekodkan jaringan.
Sekatan perpindahan jadi isu utama
Ya, faktor yang menyebabkan prestasi TRW begitu teruk kini disebabkan sekatan perpindahan daripada FIFA kepada mereka yang masih belum diselesaikan,
Dengan barisan pemain sama daripada saingan A1 lalu ke pentas Liga Super dan hanya diperkuatkan dua import, kita semua sudah boleh mengagak lebih awal tentang nasib kelab berkenaan.
Malah, Irfan Bakti sendiri pernah menyatakan masalah tersebut sejak 24 Ogos lalu menerusi perkongsian Utusan Malaysia, apabila beliau mengakui sukar untuk mengharungi saingan Liga Super dengan pemain sedia ada.
Irfan juga ada menyatakan situasi tersebut tidak melarat sehingga lima enam perlawanan dan tewas dengan jumlah jaringan lebih besar ketika kenyataan beliau dikeluarkan selepas aksi pembukaan menentang Selangor.
Tetapi kini, sekatan tersebut masih berlaku dan TRW masih gagal mendapatkan sebarang keputusan positif dan konsisten tewas dalam semua enam aksi pertama Liga Super 2026/2027.
Jangan sampai terlambat
Jika situasi itu terus berlanjutan, perebutan mereka untuk mendapatkan mata akan menjadi semakin sukar dan itu akan terus mengulangi reputasi buruk kelab bola sepak dari Kelantan sejak beberapa musim di saingan Liga Super.
Tidak ketinggalan juga, jumlah sokongan daripada peminat mungkin juga semakin pudar dengan aksi terbaharu sahaja menyaksikan hanya sekitar 1000 sahaja penyokong ke stadium.
Selesaikan masalah ini, atau redha sahaja jika TRW digelar sebagai kelab belasahan, kerana ini memang fakta yang dapat dielak. Segalanya terbukti tanpa kami perlu memberi persepsi buruk.
Sumber Foto: Kelantan Red Warrior FC






