Dah Boleh Pecat Arteta?
Kekalahan Arsenal di pentas akhir EFL secara langsung mengundang amukan peminat dek percaturan taktikal Arteta.
Nama pengurus Arsenal, Mikel Arteta kembali mengundang kemarahan penyokong The Gunners, selepas hasrat mereka untuk melihat pasukan tersebut cuba mendapatkan kejayaan ‘quadruple’ tergendala kini.
Terdahulu, skuad kendalian Arteta merekodkan kekalahan 0-2 di tangan Manchester City di pentas akhir EFL Cup dengan aksi ditampilkan cukup mengecewakan dalam kalangan peminat.
Jika kita lihat semula aksi tersebut, Arteta sebenarnya berjaya mengimbangi keupayaan taktikal Man City dengan tekanan-tekanan tinggi diberikan untuk mendapatkan gol.
Namun, segalanya berubah di separuh masa kedua, apabila Arsenal seolah kehilangan punca untuk meneutralkan siri serangan skuad kendalian Pep Guardiola yang sentiasa aktif.
Malah, beberapa kesilapan mudah dibuat menyaksikan Man City berjaya menghukum The Gunners menerusi dua jaringan peribadi Nico O’Reilly untuk memastikan mereka menjuarai kejohanan EFL Cup musim ini.
Arteta dikritik keras
Di media sosial, kritikan-kritikan keras terus disuarakan peminat terutama sekali kepada pendekatan Arteta yang dianggap tidak bersedia untuk aksi final tersebut.
Percaturan beliau di separuh masa kedua terutamanya yang pasif menjadikan Man City mudah untuk menghukum lawan bersama pelan permainan lebih kukuh.
Pada masa sama, kerisauan juga hadir dalam kalangan peminat jika Arteta mampu mempertahankan momentum semasa untuk cuba mendapatkan mana-mana trofi.
Selain itu, segelintir peminat juga mula menunjukkan sisi tidak matang dengan berharap supaya Arteta dipecat selepas tiada sebarang kejayaan signifikan diberikan oleh pengendali berkenaan.
Semua amarah ini tidak hanya diletakkan kepada beliau sahaja, malah beberapa pemain seperti Bukayo Saka dan Kepa Arrizabalaga turut menjadi mangsa kritikan peminat.
Nilai pengajaran terbaik
Apapun, kekalahan di pentas akhir ini menjadi nilai pengajaran terbaik sebenarnya buat Arteta untuk sentiasa sedar di mana kelemahan dan apa perlu diperbaiki pada aksi mendatang.
Arteta juga sudah tentu sedar beberapa pemain yang berpotensi untuk terus dipertaruhkan dan sesetengah daripadanya perlu diasah lagi demi mengukuhkan kelab berkenaan.
Dengan tiga lagi kejuaraan sedang dikejar Arteta, beliau masih memiliki masa untuk memastikan segalanya mampu dikecapi atau salah satunya berada dalam genggaman pada saingan musim ini.
Walaupun begitu, pengendali berkenaan perlu sedar untuk sesekali merasa selesa dan mengambil pengajaran untuk tidak melepaskan sebarang peluang seperti aksi akhir semalam dengan merangkul trofi kejuaraan.
Memecat Arteta kini hanyalah perkara semberono dan tidak mungkin berada dalam rencana pengurusan tertinggi pada baki saingan musim ini.





