Cristiano Ronaldo ‘Kambing Hitam’ Portugal
Kenapa masing-masing hendak menyalahkan Ronaldo sahaja? Sedangkan ada yang lain perlu dipersalahkan.
Portugal menamatkan saingan Piala Dunia peringkat Kumpulan K dengan mencatat keputusan seri sahaja semalam ketika bertemu Colombia.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Roberto Martinez meraih keputusan 0-0 untuk menyaksikan mereka kini berada di kedudukan kedua dengan lima mata sahaja dikumpul.
Ini menyaksikan kualiti negara itu sekali lagi menjadi pertikaian peminat, ekoran ketumpulan mereka pada saingan tersebut untuk mendapatkan jaringan.
Salah seorang mangsa pertikaian peminat di media sosial, pastinya terarah kepada Cristiano Ronaldo yang tampil cukup tumpul pada perlawanan tersebut untuk mendapatkan jaringan.
Setelah cemerlang pada aksi lalu bertemu Uzbekistan, entah kenapa momentum tersebut gagal dipertahankan dengan baik dan beliau gagal memberikan impak positif sepanjang aksi berlangsung.
Statistik Ronaldo lemau
Pada aksi tersebut, Ronaldo sekali lagi dipertaruhkan dalam kesebelasan utama untuk menjadi pertaruhan penting Portugal dalam mendapatkan gol.
Namun, situasi tidak seperti diharapkan apabila penyerang itu hanya mampu merekodkan tiga percubaan sahaja dengan satu daripadanya tepat ke sasaran.
Selebihnya, penyerang veteran itu juga gagal mencipta sebarang peluang berbahaya buat rakan sepasukan lain mendapatkan gol, dan Ronaldo juga hanya mampu membuat 35 sentuhan sahaja.
Bukan Ronaldo sahaja bersalah
Jika kita imbas kembali tentang Portugal, sebenarnya bukan hanya Ronaldo sahaja perlu dipersalahkan, tetapi pengurus dan rakan sepasukan pemain itu juga perlu bertanggungjawab.
Misalnya, Roberto Martinez sendiri dilihat bermasalah untuk membentuk taktikal yang lebih baik walaupun mempunyai barisan pemain serba lengkap di serata posisi.
Malah, beliau juga sepatutnya meletakkan Ronaldo di bangku simpanan dengan lebih awal jika menyedari penyerang tersebut gagal berfungsi sepanjang aksi berlangsung.
Dicanang sebagai pasukan serba lengkap di Piala Dunia, Martinez gagal memberi gambaran lebih baik menerusi pendekatan taktikal beliau di pentas Piala Dunia 2026 ini.
Pemain lain juga tidak konsisten
Selain Ronaldo, beberapa pemain bintang lain seperti Vitinha, Bruno Fernandes, dan Pedro Neto sendiri sebenarnya tidak cukup konsisten sejak tiga perlawanan diharungi.
Ini menunjukkan bukan Ronaldo sahaja perlu dikritik kerana isu prestasi, tetapi ia merangkumi keseluruhan pemain bintang lain yang kurang menyakinkan di pentas Piala Dunia 2026.
Mungkin kerana Ronaldo dianggap sebagai bintang bertaraf tinggi sehingga kini, maka beliau perlu menjadi wajah utama kepada kecaman ramai.






