Contohilah Luqman Hakim
Luqman Hakim individu yang paling tepat untuk dicontohi kebanyakan pemain tempatan sekarang
Kebanyakan peminat sentiasa bising mengapa pemain-pemain tempatan kini kurang dipertaruhkan dalam kesebelasan utama, atau menyerlah di pentas luar negara bersama kelab masing-masing.
Tetapi, ada kita berfikir mengapa kebanyakan jurulatih kelab sendiri terpaksa menafikan sesetengah pemain tempatan tersebut untuk ditawarkan kepada import, warisan atau naturalisasi.
Segalanya berkenaan mentaliti pemain itu sendiri yang kadangkala mengecewakan pengendali selain kualiti dimiliki mereka juga sukar untuk berkembang lebih jauh walaupun usia masih muda.
Lim Teong Kim mahu Luqman Hakim dicontohi
Jika lihat pada perjalanan semasa bola sepak negara, ada beberapa pemain tempatan sahaja yang betul-betul mempunyai keseimbangan daripada segi kualiti dan mentaliti cukup bagus untuk diketengahkan.
Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, dan Ahmad Syihan Hazmi yang betul-betul mempunyai keseimbangan terbaik untuk dipertaruhkan.
Selebihnya, mereka masih belum cukup untuk bersaing di pentas luar negara, terutama dalam kejohanan elit disebabkan oleh mentaliti untuk tidak cepat selesa.
Menurut Datuk Lim Teong Kim di Podcast Julang, Luqman Hakim antara contoh terbaik perlu dijadikan teladan dalam kalangan pemain tempatan lain ekoran keberanian beliau beraksi di luar negara.
“Berapa ramai anak melayu yang berani seperti Luqman untuk bermain di luar negara seperti di Iceland?,” soal Teong Kim dalam podcast berkenaan.
Masalah ‘homesick’
Menerusi pengalaman beliau, kebanyakan pemain tempatan mengalami masalah ‘homesick’ dan gagal bertahan lebih lama di luar negara untuk mengembangkan bakat.
Malah, pemain seperti Rudie Ramli dan Fadzli Shaari suatu ketika juga digambarkan mengalami masalah ‘homesick’ dan hanya berada di Jerman dalam tempoh seketika sebelum pulang ke Malaysia.
Jika kita lihat secara tepat, sudah berapa ramai sebenarnya bakat-bakat muda berkualiti negara suatu ketika yang berkelana di luar negara gagal menyesuaikan diri dengan lebih lama kecuali Luqman Hakim.
Jangan salahkan JDT dan Selangor
Jadi, tak guna kita untuk menuding jari kepada kelab yang bergantung harap kepada tenaga luar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor jika kebanyaka anak tempatan masih lemah daripada segi mentaliti di pentas elit.
Kebanyakan pemain tempatan kini lebih selesa beraksi di pentas domestik sesama sendiri disebabkan pendedahan mereka yang kurang ketika era pembangunan.
Kesannya cukup besar buat pasukan yang ingin beraksi di luar negara jika mereka tidak mempunyai elemen berkenaan seperti diterapkan oleh Arif Aiman dan Faisal Halim bersama pasukan masing-masing.
Paling tidak, elemen tidak mudah selesa seperti Luqman Hakim juga sukar untuk ditanam dalam sesetengah pemain sehingga mereka kehilangan tempat dalam pasukan untuk ditawarkann kepada import, naturalisasi dan warisan.
Teguran buat FAM dan NFDP
Dalam podcast tersebut, Teong Kim turut memberi sedikit teguran kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta NFDP sendiri untuk program pembangunan akar umbi.
Ketika era beliau bersama NFDP, banyak kejohanan di luar negara telah dilakukan beliau kerana untuk memberi pendedahan terbaik serta membentuk mentaliti anak-anak muda.
Jika tidak, peminat sendiri akan terus melihat kitaran pemain yang serupa pada masa hadapan, dan tiada anak-anak tempatan bakal mendapat tempat bersama kelab untuk aksi luar negara.
Semuanya bermula dengan mentaliti yang lemah dan sikap cepat selesa menjadikan pemain sendiri gagal membentuk kualiti permainan lebih baik untuk masa hadapan.







