Chrigor Moraes Sertai Kuching City?
Dengan rekod yang cukup cemerlang musim ini selaku penyerang, siapa tak minat kan?
Saingan musim 2025/2026 bakal berakhir tidak lama sahaja lagi, dengan kontrak pemain di saingan Liga Malaysia (Liga M) juga kebanyakan turut akan tamat.
Beberapa persiapan awal sudah tentu ingin dilakukan oleh beberapa kelab, terutama mereka yang akan dan berpotensi beraksi di pentas Asia pada saingan hadapan.
Malah, ada sesetengah kelab sudah pun memulakan rundingan awal bersama beberapa pemain tempatan atau import yang sangat cemerlang musim ini untuk terus dikekalkan pada saingan hadapan.
Untuk Selangor, tentunya kelibat penyerang berbisa mereka, Chrigor Moraes antara yang menjadi tumpuan kini terutama dalam kalangan penyokong, sama ada dikekalkan atau tidak.
Hadir dengan statistik cukup berbisa musim ini, nama beliau sudah pun dikaitkan bersama beberapa pasukan dalam saingan Liga M selain The Red Giants.
Statistik Chrigor luar biasa
Untuk musim pertama beliau dengan Selangor, ini merupakan suatu yang sangat luar biasa untuk diperkatakan mengenai statistiknya di hadapan gawang gol.
Baik di pentas domestik atau Asia, pemain dari Brazil tersebut konsisten merekodkan sumbangan gol dan membuktikan dirinya sebagai pemain yang sangat berbaloi ditandatangani Selangor.
Sebagai seorang penyerang, Chrigor pada musim ini sudah pun meledak 40 gol secara keseluruhan buat Selangor dalam setiap kejohanan disertai.
•45 perlawanan
•40 gol
•11 bantuan jaringan
Ini menjadikan Chrigor sudah menyumbang 51 jaringan dalam hanya 45 perlawanan bersama The Red Giants di pentas domestik serta Asia.
Kaitan dengan beberapa kelab
Setakat ini, nama Chrigor sudah dikaitkan dengan beberapa kelab untuk musim hadapan jika Selangor tidak menyambung kontrak baharu kepada pemain berkenaan.
Menerusi Transfermarkt, kontrak pemain berusia 25 tahun itu akan berakhir pada penghujung bulan ini selepas tirai saingan musim 25/26 tamat bersama pelbagai persoalan dalam kalangan peminat.
Sudah tentu ramai mengharapkan beliau terus bersama Selangor pada musim hadapan, dan ada ingin melihat Chrigor bersama kelab kesayangan penyokong masing-masing.
Kuching City paling sesuai
Nama Kuching City antara kelab paling sesuai untuk diwakili Chrigor pada musim hadapan sekiranya beliau tidak bersama Selangor lagi.
Dengan Ronald Ngah Wanja yang semakin berusia pada saingan akan datang, serta Jerome Mpacko sendiri masih mencari rentak bersama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, ini merupakan peluang terbaik jika mereka mahu seseorang lebih muda dan menyerlah.
Lebih menarik untuk diperkatakan jika Kuching City mampu melayakkan diri ke pentas ACL 2 musim seterusnya, kerana pasukan itu pastinya mahukan khidmat seseorang penyerang yang berkualiti tinggi.
Selain itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) sendiri boleh dianggap kelab cukup ideal buat Chrigor selepas kelibat penyerang berbisa mereka, Bergson semakin dibatasi usia serta sudah mendapat kerakyatan selaku warga tempatan.
Bersama JDT, Chrigor mampu menaikkan lagi potensi beliau pada usia masih muda untuk mencabar kejohanan berprestij tinggi di Asia serta dikelilingi rakan sepasukan berkualiti.
Apapun, segalanya masih belum diketahui tentang masa depan Chrigor musim hadapan. Namun jangkaan merasakan beliau akan terus dikekalkan bersama The Red Giants.





