Casemiro Jadikan MLS Macam Liga Amatur!
Lain macam penangan legenda Man United kini di MLS.
Casemiro akhirnya telah pun mencipta penampilan sulung beliau pada musim ini dalam saingan Major League Soccer (MLS), di Amerika Syarikat bersama Inter Miami.
Perpindahan bintang utama Brazil itu daripada Manchester United ke Inter Miami antara yang mencuri tumpuan sebelum ini, kerana beliau meninggalkan legasi cukup besar di Old Trafford.
Boleh dikatakan, hampir kebanyakan penyokong Man United sebenarnya tidak rela melihat pemain tengah Brazil itu meninggalkan kelab berkenaan dan mahu beliau dikekalkan sekurangnya semusim lagi.
Bersama Man United terdahulu, Casemiro telah pun beraksi sebanyak 160 perlawanan dan menyumbang 40 jaringan secara keseluruhan dengan aksi cukup menyakinkan, terutama sekali pada musim terakhirnya.
Namun, inilah bola sepak dengan Casemiro memilih Inter Miami sebagai destinasi baharu beliau dan buat julung kalinya pemain tersebut beraksi di Amerika Syarikat.
Pengaruh dibawa Casemiro besar
Sebelum menyarung jersi Inter Miami, Casemiro telah pun berada di Amerika Syarikat untuk mewakili Brazil bagi saingan Piala Dunia 2026 selaku salah seorang tunjang utama.
Daripada lima perlawanan diharungi sehingga ke pusingan 16 terakhir, Casemiro berjaya merekodkan satu gol dan bermula sebagai kesebelasan utama dalam semua aksi.
Ini menjadikan dirinya sebagai salah seorang pemain yang berpengaruh besar pada saingan Piala Dunia 2026, dengan Casemiro menjadi nadi utama Brazil di posisi tengah.
Jangkaan ramai, sudah tentu beliau dapat memberikan impak yang positif juga ketika menyarung jersi Inter Miami pada aksi sulungnya di pentas MLS.
Pada aksi berdepan Montreal sebaik beberapa hari Piala Dunia berakhir, pemain berusia 34 tahun itu terus dipertaruhkan dalam kesebelasan utama pada aksi sulungnya itu.
Statistik positif daripada Casemiro
Hasilnya, beliau berjaya meninggalkan impak yang sangat baik ketika Inter Miami mengetepikan Montreal menerusi keputusan 1-0 hasil ledakan tungga Luis Suarez.
Peranan Casemiro selaku pemain tengah bertahan tampak cukup menyakinkan dan berdisiplin penuh dalam menyerap setiap ancaman diberikan lawan.
Menerusi statistik dikeluarkan oleh Sofascore, Casemiro menjadi ahtara pemain Inter Miami yang mendapat rating tinggi (7.2) menerusi kualiti beliau di atas padang.
Daripada segi keseimbangan, Casemiro bukan sahaja bertindak dengan sangat baik untuk membantu pertahanan kelab dan menutup ruang lebih awal di bahagian tengah, malah beliau turut memainkan peranan baik di bahagian serangan.
Casemiro berjaya mencipta satu hantaran kunci pada perlawanan tersebut, selain berjaya melepaskan dua percubaan ke arah gawang pasukan lawan.
Debut yang cemerlang
Secara keseluruhan, aksi pertama Casemiro mendapat pujian ramai kerana beliau tampak tenang dan bertindak dengan sangat bagus selaku jeneral utama pasukan.
Malah, ada yang menganggap Casemiro sama seperti bintang handalan lain yang menjadikan saingan MLS seperti kejohanan bertaraf amatur sahaja dek kerana pengalaman dan kualiti dimiliki.
Ketika ini, Inter Miami tampak semakin seimbang di segenap posisi, dan kehadiran Casemiro membuktikan mereka serius untuk terus menjadi gergasi di pentas utama Amerika Syarikat.





