Carrick Minta Berbatov Ajar Sesko
Semenjak kehadiran Michael Carrick selaku pengurus baharu Manchester United, pelbagai perubahan positif dapat dilihat oleh para peminat termasuk sentuhan berbisa daripada Benjamin Sesko.
Begitu juga dengan para pemain kelab tersebut yang turut berkongsikan beberapa perubahan positif dialami menerusi gerak kerja Carrick yang dianggap memahami kehendak pasukan.
Sehingga kini, Man United kekal dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut di pentas English Premier League (EPL), dengan terbaharu Fulham menjadi mangsa kekalahan kelab tersebut.
Sesko puas hati dengan Carrick
Salah seorang pemain paling cemerlang pada aksi tersebut, Benjamin Sesko mengakui perbezaan positif mula dirasai kelab tersebut selepas Carrick mengambil alih jawatan selaku pengurus utama.
Pada aksi lalu, Sesko cemerlang meledak gol kemenangan buat The Red Devils dan memastikan kelab tersebut kini berada pada tangga keempat terbaik.
Masuk selaku pemain simpanan, impak Sesko cukup besar menerusi keyakinan beliau menggerakan serangan serta mendapatkan gol kemenangan buat pasukan.
Usai perlawanan, penyerang berusia 22 tahun itu tampil memberi pujian kepada Carrick, selepas perubahan intensiti permainan diterapkan pengendali tersebut membuahkan hasil.
Carrick bawa Berbatov untuk ‘basuh’ Sesko
Bagaimana Sesko kembali mendapat sentuhan positif bersama Man United sejak kehadiran Carrick selaku pengendali utama?
Pendekatan menarik dilakukan, apabila Carrick menjemput legenda pasukan, Dimitar Berbatov untuk berkongsikan tips dan nasihat berguna kepada penyerang muda berkenaan.
Jelas Berbatov, pengendali tersebut menjemput beliau untuk memberi beberapa nasihat kepada Sesko pada beberapa minggu lalu.
“Kami ada bercakap sesuatu yang positif tentang kedudukan dan keputusan perlu diambil selaku penyerang. Sesko merupakan penyerang yang prolifik dan ada masa depan cerah bersama Man United,” ujar beliau.
Untuk rekod, Berbatov merupakan antara penyerang paling berbisa pernah dimiliki Man United suatu ketika, selain banyak kejuaraan turut dilakar beliau bersama kelab tersebut sebelum ini.
Pada masa sama, Sesko mengakui beliau bersama rakan sepasukan kini diterapkan dengan mentaliti untuk terus memberi tekanan buat lawan sehingga ke minit akhir permainan.
Jika sebelum ini ada yang meragui jika Carrick mampu mengangkat prestasi Man United selepas ketiadaan Ruben Amorim bagi mengharungi baki saingan musim 25/26.
Tetapi kini, segalanya berubah dengan Carrick menekankan soal disiplin, fokus, dan intensiti permainan pada sesi latihan dan semua pemain mempunyai peranan penting.
Nafas baharu buat Sesko
Malah, Sesko dan Kobbie Mainoo yang sebelum ini kurang memberikan impak atau menjadi pilihan utama pasukan juga sudah mendapat tempat bersama perubahan lebih positif.
Sehingga kini, Sesko telah pun menyumbang tujuh jaringan daripada 21 perlawanan diharungi dan sudah tentu Carrick bakal memastikan statistik gol penyerang berkenaan terus bertambah.
Walaupun masih dianggap awal untuk segalanya, titik perubahan ini sangat penting dalam memastikan motivasi setiap pemain terus positif sehingga ke penghujung musim.
Paling penting, Man United sendiri pastinya mempunyai sasaran untuk kembali menyertai kejohanan tertinggi Eropah pada musim hadapan.








