Carrick Mampu Pacu Man United Ke Arah Lebih Baik
Kehadiran Michael Carrick selaku pengurus baharu Manchester United, pada awalnya tidak mendapat perhatian penuh dengan pelbagai pendapat dikeluarkan.
Ada yang menyokong Carrick kerana rekod sementara beliau selaku pengurus kelab tersebut sebelum ini cukup positif ketika berdepan pasukan-pasukan elit lain.
Tak kurang yang mengkritik, kerana kelab memerlukan seorang pengurus lebih berkaliber untuk menangani tekanan dan barisan pemain-pemain bintang di bilik persalinan atau sesi latihan.
Namun, keputusan sudah dibuat dan Carrick telah pun melaksanakan tugas beliau awal pagi Ahad lalu dengan cukup berjaya ketika The Red Devils menghadapi Man City.
Kemenangan 2-0 ini jelas memberi kelegaan buat para penyokong kelab berkenaan, selepas mereka terpaksa menelan beberapa keputusan perit sebelum itu, selain kehilangan khidmat Ruben Amorim.
Tak ramai sebenarnya meletakkan jangkaan tinggi Man United bawah kendalian Carrick mampu mengutip mata ketika berdepan Man City yang dibarisi ramai pemain bintang serta berada pada prestasi cukup baik.
Tetapi itulah yang dilakar oleh pengurus berkenaan pada aksi pertama beliau sejak tahun 2021 lalu, dengan segala yang ditampilkan pasukan berkenaan sangat cemerlang di segenap posisi.
Jika kita imbas kembali aksi lalu, Carrick menggunakan pendekatan formasi 4-2-3-1 yang fleksibel serta berubah mengikut kesesuaian dalam permainan dengan cukup fleksibel.
Tidak seperti Man City yang memfokuskan kepada penguasaan permainan, Man United pula tampak cenderung kepada corak permainan yang memberi tekanan tinggi buat lawan, aspek serangan balas pantas, serta perubahan transisi cukup cepat dan teratur.
Penggunaan pemain yang tepat di posisi sayap juga memainkan peranan sangat penting, kerana kepantasan dan kelincahan Amad Diallo serta Patrick Dorgu berjaya memaksa pertahanan pelawat turun lebih ke bawah dan melemahkan struktur permainan mereka.
Kepulangan Diallo serta Bryan Mbeumo kepada pasukan daripada aksi AFCON jelas menambah kembali sengat pasukan berkenaan daripada segi intensiti serangan menerusi kualiti kedua pemain berkenaan.
Menjadikan Mbeumo selaku penyerang utama mungkin sedikit pelik pada awalnya untuk diperkatakan, namun kebebasan beliau untuk bergerak berjaya membuka ruang buat Diallo serta Dorgu mendapat ruang lebih luas demi mencipta sesuatu positif.
Dan pada akhirnya, Bruno Fernandes kekal selaku antara pemain paling kreatif di pentas EPL kini menerusi kejayaan beliau menyempurnakan pendekatan taktikal Carrick pada aksi pertama.
Visi dan kreativiti Fernandes pada aksi tersebut cukup menyakinkan, dan beliau tampil menyusahkan pertahanan Man City untuk mengagak apa bakal dilakukan pemain tersebut setiap kali bola berada di kakinya.
Perjalanan Carrick masih lagi panjang, tetapi beliau mempunyai tempoh masa terbaik untuk membuktikan dirinya kini layak bergelar pengurus Man United sehingga ke penghujung musim.
Bagaimana pandangan anda?





