Carlo Ancelotti Dah Hilang Akal Ke?
Saingan Piala Dunia 2026 tak mula lagi, tapi beliau dah teruk jadi mangsa amukan penyokong Brazil.
Awal pagi tadi, Brazil secara rasminya memperkenalkan senarai akhir pemain akan beraksi di pentas Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung tak lama lagi.
Sebelum itu, pelbagai andaian dibuat oleh penyokong dengan mereka mengharapkan Carlo Ancelotti dapat memanggil barisan pemain betul-betul layak untuk ke kejohanan berkenaan.
Ini kerana mereka enggan melihat pasukan tersebut terkandas lebih awal seperti edisi 2022 lalu, apabila Brazil tersingkir pada aksi suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Croatia.
Dengan ramai pemain-pemain Brazil nenyerlah sejak kebelakangan ini, Ancelotti perlu menilai secara teliti siapa lebih layak untuk membarisi skuad kebangsaan tersebut.
Selamat kembali Neymar
Ya benar, Neymar kembali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Brazil bagi memperkukuhkan posisi serangan negara tersebut di pentas Piala Dunia.
Ini merupakan suatu kejutan sebenarnya dalam kalangan penyokong, jika mereka ambil kira pada prestasi semasa beliau yang sudah menurun selain faktor kecederaan selalu membelenggu dirinya.
Kali terakhir Neymar beraksi untuk Brazil pada bulan Oktober 2023 lalu sewaktu mereka tewas 0-2 di tangan Uruguay dan Neymar gagal menyumbang sebarang gol.
Selepas itu, beliau tidak lagi dipanggil ekoran kecederaan berpanjangan dialaminya selain masalah prestasi dalam permainan, sehingga kini nama Neymar berjaya menyertai semula skuad kebangsaan.
Kerana Neymar, Ancelotti dipertikai
Di media sosial, ramai mula mempertikaikan keputusan dibuat oleh Ancelotti untuk memanggil semula pemain tersebut, walaupun prestasi semasa bekas tonggak Barcelona dan PSG itu kurang menyakinkan.
Ketika ini, Neymar beraksi bersama Santos di pentas Serie A dengan pasukan berkenaan berada pada kedudukan ke-16 daripada 20 pasukan bertanding.
Malah, beliau kini hanya sempat beraksi dalam 8 perlawanan di pentas Serie A dan 15 secara keseluruhan dengan menyumbang 10 jaringan sahaja bersama Santos.
Kerana itu Ancelotti mula dipertikai penyokong kerana keputusan beliau untuk tetap membawa Neymar sedangkan beberapa pemain Brazil lain sedang berada dalam prestasi cukup baik.
Joao Pedro dipinggirkan
Pemain seperti Joao Pedro antara yang mendapat perhatian, selepas beliau tidak terpilih untuk mewakili Brazil tatkala dirinya sedang berada dalam prestasi cukup baik.
Ketika ini, Pedro merupakan penjaring terbanyak Chelsea dan berada dalam kelompok empat terbaik dalam kalangan penyerang berbisa Premier League musim 2025/2026.
Secara keseluruhan, Pedro sudah merekodkan 29 sumbangan gol bersama Chelsea dalam semua kejohanan disertai, termasuk pentas UEFA Champions League.
Menyingkirkan Pedro dan membawa Neymar yang bergelut dengan prestasi serta kelab semasanya merupakan suatu tindakan cukup pelik dilakukan oleh Ancelotti.
Amukan peminat
Di media sosial, banyak kritikan diberi kepada Ancelotti dengan ada mendakwa tindakan beliau bakal membawa bahana buat Brazil pada kejohanan tersebut.
Malah ada menyatakan Ancelotti mungkin menyesal selepas ini, kerana peluang Neymar untuk cedera cukup besar dan penyerang itu tidak mustahil hanya beraksi dalam satu atau dua perlawanan.
Selain itu, segelintir penyokong turut mendakwa Ancelotti sebenarnya sudah hilang akal kerana mementingkan populariti bakal dibawa Neymar buat Brazil di Piala Dunia berbanding prestasi tinggi daripada Pedro.
Apapun, ini merupakan risiko yang telah diambil oleh pengendali tersebut. Suka atau tidak beliau perlu memastikan percaturan dibuat berjalan lancar sepanjang mengharungi saingan Piala Dunia tidak lama sahaja lagi.






