Saingan musim 26/27 baru sahaja bermula, tetapi sudah banyak perkara tidak enak kedengaran mengenai situasi semasa dihadapi oleh Manchester United.
Pada penghujung musim lalu, kelab ini seolah menjanjikan kejayaan diidamkan para peminat mungkin boleh dilaksanakan, selepas kita sendiri melihat sentuhan emas dibawa oleh Michael Carrick.
Kualiti permainan yang menyakinkan, keputusan dipamerkan positif, serta pengaruh Carrick sendiri ketika itu dilihat berjaya mengubah Man United menjadi sebuah pasukan digeruni sehingga mereka layak ke pentas UEFA Champions League (UCL) semula.
Tetapi itulah, sebaik sahaja tirai saingan 26/27 bermula, prestasi semasa ditampilkan oleh Man United tak ubah seperti ‘yoyo’. Kadangkala bagus, dan selalunya mengundang kemarahan penyokong.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan dalam semua kejohanan, termasuk aksi di pentas UCL, mereka hanya mampu merekodkan dua kemenangan sahaja dan gagal awal dalam kejohanan EFL Cup.
Tumpuan kepada Lisandro Martinez
Terbaharu, mereka merekodkan kekalahan pertama dalam aksi UCL musim ini ketika pasukan tersebut berdepan wakil kelab Sepanyol, Atletico Madrid menerusi keputusan penuh, 0-2 di gelanggang lawan.
Seusai perlawanan, pertahanan kental The Red Devils, Lisandro Martinez hadir dengan kenyataan kontroversi apabila beliau secara terbuka memberi kritikan kepada kelab diwakilinya.
Pengarah teknikal kelab, Jason Wilcox antara yang menjadi sasaran Martinez dengan pemain Argentina itu menyalahkan beliau kerana tidak menguruskan jendela perpindahan dengan lebih baik.
Malah, Martinez turut menegaskan segala kelemahan semasa kelab bukan hanya berpaksikan kepada jurulatih dan pemain sahaja, tetapi ia turut melibatkan pengurusan pasukan sendiri untuk turut bertanggungjawab.
Kenyataan itu secara tidak langsung mengundang kontroversi dengan ramai penyokong memberi pelbagai pandangan kepada Man United menerusi media sosial.
Kenyataan pahit yang perlu dibayar Martinez
Semalam, laporan di media sosial menyatakan Martinez telah dikenakan denda sebagai bentuk hukuman atas sikap beliau yang memberi kritikan terbuka kepada Man United.
Malah, Martinez sendiri telah bertemu dengan Carrick dan barisan pengurusan kelab untuk menjernihkan suasana selain permohonan maaf turut dibuat pemain tersebut.
Seperti dijangka, ramai penyokong berpihak kepada Martinez dengan menganggap beliau hadir pada masa tepat untuk mengkritik secara lantang kepada pengurusan kelab yang selama ini kurang diberi perhatian.
Tak kurang ada yang turut menyelar tindakan pengurusan kelab yang selama ini dilihat begitu selesa dengan jawatan masing-masing dan mengabaikan hala tuju sebenar pasukan tersebut di pentas domestik serta Eropah.
Kritikan Martinez dilihat sebagai suatu perkara yang tepat dengan mereka menganggap ini sebagai sebuah teguran supaya mereka memperbaiki segalanya dan menguruskan Man United lebih baik tanpa pemain atau kejurulatihan menjadi mangsa.
Permohonan maaf mungkin sudah dibuat, denda juga bakal diterima oleh Martinez, tetapi para penyokong sudah tentu akan terus mengingati kenyataan tersebut dan bakal memerhatikan segala gerak kerja pengurusan Man United selepas ini dengan lebih peka.






