Aksi pertama AFC Champions League Elite (ACLE) 26/27 membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United sudah pun tamat semalam.
Pada aksi semalam, kedua pasukan tersebut sekadar terikat seri 1-1 dengan aksi berkenaan boleh dianggap cukup sengit dan tampil bersama pelbagai drama untuk diperkatakan.
Wakil Malaysia, JDT terlebih dahulu meraih gol pertama perlawanan menerusi Oscar Arribas, sebelum kelebihan berkenaan dipadam oleh jaringan penyamaan Stefan Schimmer yang menyaksikan kekal hingga wisel penamat.
Pada perlawanan berkenaan juga menyaksikan kedua pasukan kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah yang diberi kepada Keneth Dougall (Buriram United), serta Eddy Israfilov (Buriram United).
Walaupun terikat seri, Buriram United mungkin sepatutnya lebih terkilan serta malu akibat kegagalan mereka sendiri untuk meraih kemenangan berbanding JDT.
Skuad yang mahal
Dalam senarai kesebelasan utama ditampilkan semalam, skuad Buriram United lebih mewah jika dibandingkan tuan rumah JDT, dengan Sofascore menyatakan pasukan pelawat hadir bersama nilai €6.4 juta.
Berbanding JDT, nilai para pemain kesebelasan utama pasukan tersebut hanya sebanyak €5.8 juta sahaja jauh lebih rendah berbanding pasukan pelawat.
Penyerang Buriram United, Bissoli hadir dengan pemain paling mahal dengan pasaran semasa pemain tersebut bernilai €2 juta yang mampu menampung gabungan harga tiga pemain JDT seperti Eddy Israfilov, Afiq Fazail, serta Shahab Zahedi.
Walaupun begitu, statistik dan impak Bissoli boleh dikatakan cukup sendu di atas padang dengan tiada sebarang sumbangan gol mampu direkodkan beliau.
Ini menjadikan JDT lebih bijak berbelanja dan menggunakan barisan pemain mereka dengan lebih optimum untuk memberi impak positif di atas padang berbanding skuad kendalian Mario Silva.
Kualiti permainan sendu
Sejak wisel permainan ditiupkan, Buriram United tampil seperti kebanyakan kelab Liga Super sahaja ketika berdepan JDT, apabila penguasaan permainan mereka lebih rendah dan tidak banyak percubaan berbahaya mampu dibuat.
Apa yang menarik, mereka sebenarnya hanya meletakkan seorang pemain tempatan dalam senarai kesebelasan utama iaitu Sasalak Haiprakhon yang sudah berusia 30 tahun.
JDT pula tenang menyenaraikan tiga pemain tempatan dan memberi kepercayaan bintang berusia 24 tahun dalam senarai kesebelasan utama termasuk lilitan kapten buat Afiq Fazail.
Tetapi hasil di atas padang? Jelas JDT lebih menguasai permainan dan Arif sendiri menjadi kebanggaan JDT serta Malaysia menerusi aksi cemerlangnya sehingga mendapat rating tertinggi oleh Sofascore (7.5/10).
Aib buat Buriram United
Walaupun beraksi di halaman sendiri, kelebihan sebenarnya terletak kepada Buriram United menerusi rekod pertemuan lampau yang berpihak kepada mereka serta senarai pemain dipertaruhkan jika dibandingkan JDT.
Suatu kerugian buat gergasi Thailand tersebut dan menjadi satu keputusan berharga buat JDT yang sekali lagi berjaya mengecilkan jurang kekuatan kedua pasukan berkenaan.
Tatkala JDT semakin pesat membangun dan seimbang daripada segi pengurusan pemain dan percaturan taktikal di pentas Asia, Buriram United dilihat semakin mundur untuk memberi persaingan lebih besar dengan membawa status kelab elit Thailand.






