Buriram United Patut ‘Goyang’ Sekarang
Tak kena gaya, mereka boleh diaibkan lawan di halaman sendiri selepas ini.
Menjelang aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup 25/26 tidak lama sahaja lagi, pertembungan antara Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) antara mencuri tumpuan.
Jika sebelum ini, Buriram United berjaya mengetepikan JDT yang serba tempang tanpa beberapa pemain utama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), kali ini ceritanya mungkin akan berbeza.
Imbas kembali, aksi separuh akhir pertama lalu menyaksikan JDT tewas 1-3 di tangan Buriram United dengan mereka tampil sedikit tempang di beberapa posisi terutama di bahagian serangan.
Episod berbeza di gelanggang lawan
Tetapi, episod berbeza dijangka bakal ditampilkan Harimau Selatan kali ini, selepas penyerang utama mereka, Bergson da Silva mungkin bakal dipertaruhkan untuk bertemu gergasi dari Thailand tersebut.
Aksi lalu menyaksikan JDT tidak dapat mempertaruhkan Bergson, dengan mereka hanya meletakkan Jairo da Silva bersama Marcos Guilherme sahaja selaku peledak utama.
Menurut laporan, Bergson ketika itu tidak dapat dipertaruhkan kerana beliau mengalami kecederaan yang memaksa beberapa perubahan dibuat oleh Xisco Munoz.
Malah, pemain lain seperti Natxo Insa dan Manuel Hidalgo sendiri tidak dipertaruhkan Munoz pada aksi berkenaan yang menyaksikan lawan berjaya meraih kemenangan 3-1 mengatasi JDT.
Tetapi, cerita kali ini mungkin berbeza dengan Munoz sendiri pastinya bakal membuat rombakan terbaik dalam menyenaraikan pemain di bumi Thailand pada 13 Mei tidak lama sahaja lagi.
Momentum Bergson cukup baik
Sebelum aksi 13 Mei akan datang, Bergson berjaya menampilkan momentum cukup baik di pentas Liga Super menerusi ketajamannya di hadapan gawang gol.
Suatu perkara yang dirindui JDT pada aksi lalu, kerana mereka tidak dapat menggunakan ketajaman beliau untuk mendapatkan lebih banyak gol.
Apa tidaknya, Bergson antara penyerang yang cukup berbisa di kejohanan tersebut dengan pemain dari Brazil itu sudah merekodkan tujuh sumbangan gol dalam hanya empat penampilan.
Malah, penyerang tersebut juga masih segar dengan lima gol peribadi yang diledaknya sebelum itu ketika JDT menewaskan Kelantan TRW melalui kemenangan 11-1.
Buriram United patut risau
Kerisauan pastinya berlegar di kem Buriram United kini, kerana mereka sudah tentu tidak rela diaibkan lawan di halaman sendiri selepas ini.
Jika diikutkan aksi lalu, JDT sebenarnya lebih banyak menguasai perlawanan dan kreatif merancang serangan, cuma ketumpulan di bahagian penyudah sahaja menghalang segalanya buat Harimau Selatan.
Ditambah dengan Hidalgo sendiri juga berada pada terbaik untuk dipertaruhkan pada aksi akan datang, ini bakal menambah kreativiti serta variasi taktikal serangan buat Munoz untuk menghadapi Buriram United.
Apa yang pasti, Buriram United tak akan dibayangi kemenangan lalu kerana mereka sedar bagaimana bahayanya Harimau Selatan jika mereka memperoleh walau sedikit peluang.






