Selangor secara rasminya telah pun tersingkir dalam saingan separuh akhir Piala FA 26/27 semalam, selepas mereka diketepikan oleh satu lagi kelab pilihan, Kuching City di gelanggang lawan.
Pada aksi berkenaan, skuad kendalian Kim Pan-gon gagal mempertahankan kelebihan agregat mereka sejak aksi separuh akhir pertama lalu, apabila The Red Giants tumbang menerusi keputusan penuh 2-3.
Pada aksi itu, jelas kedua pasukan tampil dengan cukup sengit dengan masing-masing mencipta siri serangan silih berganti dalam mendapatkan gol.
Safawi Rasid tampil mencipta gol terlebih dahulu menerusi sepakan penalti beliau yang kencang, dan berjaya memperdayakan Sikh Izhan Nazrel selaku penjaga gol utama Selangor.
Lebih perit, tatkala Selangor ingin memburu peluang ke final pada masa tambahan, tampil Mukhairi Ajmal yang tidak sengaja menjaringkan gol sendiri pada penghujung aksi, sekali gus memastikan Kuching City mara ke perlawanan akhir Piala FA 26/27.
Kejayaan ini cukup manis buat Kuching City yang pertama kali berjaya melayakkan diri ke final saingan tersebut, dan itu juga menjadi mimpi ngeri buat Selangor apabila mereka gagal kali kedua berturut-turut untuk ke pentas akhir.
Kenapa salahkan pengadil?
Pada aksi berkenaan juga, rata-rata penyokong meletakkan kesalahan penuh kepada pengadil perlawanan, Mohd Izwan bin Abdullah yang dianggap gagal mengawal permainan dengan baik.
Selain beberapa insiden kekasaran tidak memihak Selangor, tindakan pengadil tersebut memberi sepakan penalti kepada Kuching City juga turut dipertikai kerana ia tidak sepatutnya berlaku walaupun sudah disahkan oleh Video Assistant Referee (VAR).
Kim Pan-gon selaku pengendali Selangor sendiri beberapa kali tampil berang dengan tindakan Mohd Izwan yang seolah-olah langsung tidak memihak kepada The Red Giants seperti kekasaran dibuat terhadap Chrigor Moraes.
Selangor perlu salahkan diri sendiri
Sebenarnya, Selangor juga perlu menyalahkan diri sendiri pada perlawanan tersebut dan tidak boleh meletakkan kesalahan penuh mereka kepada pasukan lawan yang bijak menyudahkan segala peluang terhidang.
Pada aksi berkenaan, Selangor dilihat terlalu tumpul untuk menyudahkan beberapa peluang terbuka luas dan ‘mematikan’ aksi berkenaan dengan lebih awal di gelanggang pasukan lawan.
Kim sendiri sebenarnya telah menggunakan semua pemain serangan import beliau pada aksi separuh masa pertama dan kedua menerusi beberapa rombakan dibuat, selain Moraes terus dikekalkan atas padang.
Tetapi, tiada sebarang gol dapat dihasilkan dengan beberapa gerakan pasukan itu sendiri juga begitu mudah dibaca serta dipatahkan oleh kelab tuan rumah, Kuching City yang cukup berdisiplin serta mempunyai persefahaman tinggi.
Mukhairi Ajmal buat apa?
Dibawa turun pada separuh masa kedua untuk memperkukuhkan serangan, Mukhairi gagal memberikan sebarang impak yang positif dan beliau sendiri menjadi punca kepada kemenangan lawan.
Selain gol sendiri direkodkan pemain tersebut, gerakan Kuching City dalam melakukan serangan balas pantas juga terhasil menerusi kealpaan Mukhairi dalam mengawal bola lebih kemas dan disambar lawan.
Pertukaran pemain lain seperti Kay Tejan dan Vitor Pernambuco juga gagal menjadikan siri serangan Selangor bertambah baik dengan gerakan dua import tersebut juga terbatas oleh keampuhan pertahanan lawan.
Disiplin pertahanan Selangor sendiri juga rapuh beberapa kali sehingga membenarkan Kuching City licik mengambil peluang untuk melakukan beberapa gerakan berbahaya.
Secara kesimpulan, bukan hanya pengadil perlu dipersalahkan. Selangor sendiri mengambil jalan sukar dan gagal mempertahankan kelebihan awal yang mereka miliki kepada pasukan lawan sehingga gagal melangkah ke final.






