Bukan Salah Ancelotti, Tapi Brazil Sendiri Hancur!
Nak salahkan Ancelotti saja tak kena, padahal Brazil sendiri pun memang kebelakangan ni bermasalah.
Aksi pertama Brazil pada saingan Piala Dunia 2026 tampak sedikit hambar, apabila mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Maghribi.
Diletakkan selaku negara pilihan, Brazil gagal memenuhi jangkaan ramai dan mereka sebenarnya ketinggalan terlebih dahulu pada aksi tersebut sebelum kembali bangkit menyamakan kedudukan.
Pada aksi berkenaan, Carlo Ancelotti menurunkan kesebelasan terbaik beliau kecuali Neymar yang masih belum dibenarkan beraksi, kerana pemain tersebut menjalani tempoh pemulihan.
Walaupun begitu, mereka gagal menunjukkan karakter yang baik selaku antara pasukan pilihan, dengan beberapa gerakan cuba dicipta gagal membuahkan hasil.
Di media sosial, beberapa kritikan telah dilontarkan peminat dengan salah satunya mereka memberi fokus kepada ketumpulan jentera serangan Brazil.
Brazil tiada penyerang berbisa?
Terdahulu, Ancelotti pernah dipersalahkan kerana tidak membawa Joao Pedro yang merupakan penyerang sensasi Chelsea ke skuad Piala Dunia 2026.
Untuk rekod sejak Jun 2025 hingga April 2026, Ancelotti sebenarnya telah pun menguji tujuh penyerang no.9 bagi sembilan perlawanan pentas antarabangsa.
Matheus Cunha antara paling banyak diuji daripada segi minit permainan (397 minit), sambil diikuti Richarlison (174 minit), dan Joao Pedro (153 minit).
Pemain-pemain lain turut diuji merupakan Vitor Roque, Kaio Jorge, Igor Thiago, dan Igor Jesus yang mendapat minit permainan masing-masing bawah kendalian Ancelotti.
Secara keseluruhan, output yang diberikan oleh para pemain ini boleh dikatakan cukup mengecewakan kerana masing-masing gagal meledak gol.
Cunha bagus, tapi…
Dalam kelompok pemain tersebut, cuma Cunha dianggap sangat menyakinkan oleh Ancelotti untuk mengemudi siri serangan Brazil di pentas Piala Dunia 2026.
Cunha memiliki keupayaan terbaik yang diinginkan oleh Anceloti buat Brazil daripada segi:
•Pergerakan tanpa bola
•Cipta tekanan tinggi kepada lawan
•Keseimbangan dalam percaturan taktikal
Walaupun begitu, Cunha tetap bermasalah daripada segi kualiti penyudah dan masalah ketumpulan Brazil di posisi serangan masih gagal untuk diselesaikan.
Joao Pedro hancur!
Lebih memeritkan, Joao Pedro sendiri gagal memberi reaksi lebih positif buat siri serangan Brazil ketika dipanggil, walaupun mempunyai reputasi baik bersama Chelsea.
Boleh dikatakan, Pedro antara pemain paling kerap mendapat peluang terdahulu dan beliau gagal meledak sebarang gol buat pasukan kebangsaan berkenaan.
Pada aksi bertemu Croatia sebelum pengumuman skuad Piala Dunia dibuat, Pedro sekali lagi diberikan kepercayaann namun pemain itu gagal membuktikannya.
Asbab itu beliau langsung tidak dipilih dan Igor Thiago bersama Endrick mendapat kepercayaan untuk memimpin posisi serangan negara itu di kejohanan berprestij berkenaan.
Secara keseluruhan, posisi serangan Brazil kini boleh dikatakan cukup teruk dengan masing-masing masih lagi mencapai tahap diinginkan untuk menjadi peledak utama di saingan Piala Dunia 2026.
Menyalahkan Ancelotti seorang sahaja bukan suatu tindakan tepat, kerana Brazil sendiri sebenarnya bermasalah dalam melahirkan penyerang lebih berkualiti.





