Bukan Sabah Tak Bagus, Cuma…
Dua kali ke final kejohanan domestik, tapi masih ada yang kurang tentang Sabah. Apa ya?
Sabah antara pasukan yang menjadi tumpuan musim ini sebenarnya, selepas kejayaan mereka melangkah ke pentas akhirsebanyak dua kali di pentas domestik.
Walaupun kurang diberi tumpuan pada awalnya, Sabah berjaya memastikan mereka sebenarnya mampu melangkaui jangkaan kebanyakan peminat di Liga Malaysia pada saingan musim ini.
Jika dibandingkan dengan kelab-kelab lain (kecuali Johor Darul Ta’zim) seperti Selangor, Terengganu, atau Kuching City, ini merupakan kejutan untuk melihat kemampuan Sabah sehingga mereka merangkul satu trofi domestik kini.
Prestasi Liga Super kurang bagus
Walaupun sudah meraih trofi kejuaraan MFL Challenge Cup musim ini, sekelompok penyokong kurang senang dengan pencapaian semasa The Rhinos di pentas Liga Super.
Untuk tahun 2026, Sabah sebenarnya masih lagi belum memperoleh sebarang kemenangan dengan kebanyakan keputusan berakhir dengan seri serta kekalahan.
Kali terakhir Sabah mencipta kemenangan Liga Super ketika mereka menewaskan Terengganu 3-1 pada 23 Disember tahun lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Selebihnya, mereka gagal mendapatkan tiga mata penting dan kini berada pada kedudukan ke-10 Liga Super bersama 17 mata diraih untuk berada di belakang Penang pada tangga ke-9.
Selepas mengharungi 21 perlawanan, pasukan ini hanya mampu merekodkan tiga kemenangan dan lapan kali seri dengan selebihnya berakhir bersama rekod kekalahan.
Beberapa persoalan timbul, apa yang menjadikan Sabah begitu sukar pada musim ini di Liga Super?
Kedalaman skuad kurang memberansangkan
Jika kita lihat Sabah pada musim-musim lalu, mereka mempunyai barisan pemain serba lengkap merangkumi kesebelasan utama atau berada di bangku simpanan.
Namun sebaliknya berlaku musim ini, selepas ramai pemain-pemain utama seperti Amri Yahya, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan beberapa lagi tidak bersama pasukan berkenaan.
Dengan beberapa pemain muda dipertaruhkan, sukar untuk Juan Torres Garrido atau pengendali terdahulu menyusun skuad tersebut dengan lebih menyakinkan.
Malah, Juan Torres sendiri serba tempang mengendalikan Sabah pada pertengahan musim dengan beliau turut kehilangan khidmat Stuart Wilkin, Ajdin Mujagic, dan Daniel Ting.
Import Sabah kurang menyengat
Selain Ajdin yang berbisa pada awal musim sebelum berhijrah menyertai JDT, Sabah sebenarnya tidak mempunyai import yang betul-betul berkualiti untuk menaikkan kelab berkenaan.
Pemain semasa seperti Dane Ingham, Dean Pelekanos, dan beberapa nama lagi dianggap berada pada tahap lebih baik untuk membantu Sabah secara keseluruhan dalam persaingan Liga Super.
Malah, kelibat pemain baharu ditandatangani pada pertengahan musim seperti Ernesto Phumipha, Chris Marlon, dan Duje Ljubic sendiri gagal memberikan impak lebih besar.
Faktor kewangan
Seperti diketahui, Sabah antara pasukan yang dilanda masalah kewangan sebelum ini menerusi beberapa laporan di media sosial sehingga ia merencatkan beberapa persiapan terbaik.
Tanpa kewangan kukuh, sukar untuk Sabah dapatkan pemain lebih menyakinkan serta tonggak-tonggak sedia ada sendiri dilepaskan bersama kelab baharu.
Secara keseluruhan, bukan Sabah tidak bagus kerana mereka mempunyai kejurulatihan berkaliber bersama tonggak utama yang menyakinkan untuk membantu pasukan.
Cuma isu kualiti import, kedalaman skuad, dan masalah kewangan dilihat merencatkan sedikit momentum mereka di pentas Liga Super musim ini sehingga terperosok ke tangga bawahan.






