Barcelona secara rasminya kini memperkenalkan penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus selaku peledak baharu mereka untuk mengharungi saingan musim ini.
Dengan nilai perpindahan dari Arsenal sebanyak £8.6 juta sahaja sehingga Jun 2029, pemain ini dijangka bakal membuat penampilan untuk aksi seterusnya berdepan Valencia.
Terdahulu, pelbagai khabar angin menyatakan Barcelona sebenarnya bakal membawa penyerang baharu dalam usaha menggantikan posisi ditinggalkan oleh Robert Lewandowski dan Ferran Torres.
Tanpa kedua penyerang tersebut, Raphinha ditolak selaku penyerang utama sementara ini dan beliau berjaya tampil dengan kualiti cukup menyakinkan.
Sehingga Jesus akhirnya diperkenalkan kini selaku peledak utama kelab berkenaan dan ia sekali gus menutup spekulasi semasa kehadiran Julian Alvarez yang dicanang-canang terdahulu.
Adakah beliau bagus?
Sepanjang bersama Arsenal, Jesus telah menyumbang 54 gol daripada 123 penampilan dalam semua kejohanan diharungi pasukan tersebut.
Walaupun begitu, karier beliau pada musim lalu tidak begitu memberansangkan apabila Jesus kerap dihimpit dengan kecederaan serta bukan lagi pilihan utama ekoran prestasi positif daripada Viktor Gyokeres serta Kai Havertz.
Hanya enam gol sahaja mampu direkodkan Jesus pada musim lalu selepas beliau mengharungi 27 perlawanan, termasuk di pentas Champions League (UCL).
Secara keseluruhan, prestasi Jesus musim lalu dianggap kurang menyakinkan, menerusi faktor prestasi di atas padang serta siri kecederaan dialami oleh penyerang dari Brazil tersebut.
Malah, nama Jesus juga tidak tersenarai untuk mewakili Brazil di pentas Piala Dunia 2026 lalu bawah kendalian Carlo Ancelotti walaupun dirinya baru berusia 29 tahun.
Penyokong Barcelona kurang suka
Di media sosial, ada penyokong Barcelona kurang gemar dengan kehadiran Jesus atas faktor prestasi beliau sejak beberapa musim akhir ini sebelum menyertai pasukan berkenaan.
Ada yang menyifatkan Jesus mungkin tidak akan memberikan impak lebih baik buat Barcelona di posisi serangan dan dianggap sebagai sebuah pembaziran, walaupun pasukan kendalian Hansi Flick itu mendapatkan pemain berkenaan dengan harga murah.
Salah satu faktor yang paling membimbangkan ramai penyokong Barcelona, sudah tentu terarah kepada rekod kecederaan beliau yang memungkinkan bakal berlaku lagi pada masa hadapan.
Suka atau tidak, Jesus kini sudah pun menjadi sebahagian daripada Barcelona untuk saingan musim ini, dan tiada siapa tahu jika beliau dapat menyesuaikan diri dengan pantas atau bakal menjadi salah seorang pemain paling ‘flop’.
Ketika ini, Raphinha sendiri sedang berada dalam prestasi terbaik dan Jesus perlu memberi persaingan lebih sengit untuk mendapat peluang dalam kesebelasan utama.





