Setiap musim, kebanyakan kelab dilihat giat menandatangani pemain-pemain import untuk memenuhi kuota yang dibenarkan oleh MFL, bagi menghadapi saingan peringkat domestik atau Asia.
Bagi kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), itu bukan sekadar kemahuan, tetapi keperluan kerana mereka bukan hanya memfokuskan kepada saingan domestik, tetapi kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) setiap musim.
Begitu juga buat pasukan lain seperti Kuching City yang dilihat wajar menandatangani ramai pemain import demi mempersiapkan diri lebih baik dalam kejohanan ACL 2.
Kelab lain tak salah, cuma…
Tidak dinafikan hak untuk kelab-kelab lain menandatangani semaksima mungkin pemain import mengikut ketetapan dibuat, selagi sumber kewangan mereka kukuh dan tidak mempunyai isu larangan apa-apa.
Cuma menjadi persoalan, adakah itu merupakan bentuk keperluan buat pasukan atau mereka sekadar mengikut ‘trend’ sebagai suatu daya tarikan kepada peminat pada awal musim.
Ada sesebuah kelab dilihat telah menandatangani lebih daripada 10 pemain import, walaupun hanya beraksi di saingan peringkat domestik, seperti dilakukan oleh Melaka FC pada saingan musim ini.
Dari sini persoalan terus timbul, untuk apa mereka menyenaraikan sebegitu ramai import, sedangkan sasaran Melaka pada musim ini untuk menamatkan cabaran di kedudukan ke-6 Liga Super sahaja.
Begitu juga dengan Star City dan Penang yang giat menandatangani lebih daripada 7 pemain import pada musim ini dan ada persamaan yang boleh dikatkan dengan kelab-kelab disebut berkenaan.
Kuantiti atasi kualiti
Jika diikutkan, kebanyakan pemain import pada musim lalu dan awal saingan kini dilihat lebih bersifatkan kuantiti sahaja, berbanding kualiti terbaik untuk memperkukuhkan pasukan diwakili.
Misalnya Melaka pada musim ini sudah pun memberikan gambaran awal tentang kuantiti sahaja tidak cukup untuk memenuhi tuntutan kualiti diperlukan dalam perlawanan sebenar.
Tersingkir awal dari saingan Piala FA dan baru merekodkan satu kemenangan daripada tiga aksi awal Liga Super, perkara paling jelas ditunjukkan Melaka kini terarah kepada kualiti import mereka yang gagal meningkatkan mutu permainan kelab tersebut.
Begitu juga dengan Penang serta Star City yang dilihat gagal membuktikan kuantiti import mereka mampu memberi impak dalam permainan ditampilkan di atas padang sehingga kini.
Adakah ianya salah?
Sudah tentu tidak, selagi ia tidak melanggar peraturan dan kelab tidak mempunyai masalah daripada segi kewangan untuk menanggung gaji para pemain import tersebut mengikut kontrak ditetapkan.
Tetapi, adakah ianya berbaloi jika kualiti yang ditampilkan kebanyakan import tersebut hanya setaraf bakat tempatan, atau lebih teruk menjadi beban sehingga dikritik semula oleh para penyokong.
Kerana pada akhirnya, kualiti liga kita sendiri akan menurun kerana sikap kebanyakan kelab yang gemar menandatangani import tanpa mengira status atau kesesuaian disebabkan sikap mengimpikan kejayaan segera.
Manakala nasib anak tempatan yang kadangkala jauh lebih bagus, terus dipinggirkan kerana ingin memberi laluan kepada lambakan import tersebut beraksi di atas padang walaupun kualiti engtah apa-apa.





