Brazil Bukan Lagi Kuasa Besar Bola Sepak
Dengan prestasi pemain yang tidak konsisten, serta pengurusan taktikal di atas padang, tak ada apa yang menarik dah tentang Brazil kini!
Perjalanan Brazil di pentas Piala Dunia 2026 secara rasminya telah pun berakhir dengan pasukan itu mencatat kekalahan 1-2 di tangan Norway pagi tadi.
Pada aksi 16 terbaik itu, ramai menjangkakan Brazil sebenarnya mampu untuk mengatasi cabaran Norway dan menjadi antara terawal mengesahkan diri ke suku akhir.
Namun, sebaliknya berlaku apabila skuad kendalian Carlo Ancelotti dikejutkan dengan kualiti permainan yang cukup baik daripada Norway sepanjang perlawanan berlangsung.
Dua jaringan Erling Haaland di separuh masa kedua sudah cukup mengesahkan kemenangan mereka pada aksi itu dan membuktikan kepada dunia tentang kelemahan ketara daripada Brazil.
Ini juga menyaksikan Brazil terus kempunan untuk menjulang Piala Dunia, selepas melakukannya sejak tahun 2002 lalu menerusi kemenangan 2-0 ke atas Jerman.
Apa masalah Brazil?
Terlalu banyak masalah Brazil sebenarnya, daripada segi pemilihan awal pemain, membawa kepada percaturan permainan yang lebih baik di atas padang.
Di media sosial, sehingga kini masih ramai mempertikaikan tentang isu pemilihan Joao Pedro yang tidak dipanggil menyertai Brazil walaupun beliau mempunyai statistik baik buat Chelsea selaku penyerang.
Sebaliknya, beliau terus berkeras untuk mempertahankan pemilihan Neymar yang mempunyai reputasi tidak begitu konsisten serta dihambat dengan kecederaan.
Akibatnya, Neymar terpaksa berehat dalam beberapa aksi Piala Dunia dan impak beliau langsung tidak membantu siri serangan Brazil ketika dipertaruhkan.
Daripada segi permainan, Brazil mungkin tak hadapi masalah ketika berdepan dengan negara seperti Haiti dan Scotland.
Tetapi ianya menjadi isu ketika menentang pasukan lebih kuat seperti Maghribi, Jepun, serta kekalahan mereka sebentar tadi di tangan Norway yang menjadi ancaman buat pertahanan negara berkenaan.
Adakah ini penamat buat Brazil?
Sudah tentu tidak. Brazil masih lagi sebuah pasukan pilihan yang dijangka akan terus beraksi dalam kejohanan Piala Dunia akan datang.
Dengan saban tahun begitu banyak bakat baharu berkualiti dilahirkan, bukan suatu masalah buat Brazil untuk terus menyertai kejohanan itu nanti.
Cuma persoalan, adakah mereka bakal memegang status elit lagi atau berubah kepada pasukan biasa sahaja ketika berdepan negara-negara pilihan lain nanti.
Segalanya terserah kepada Ancelotti untuk mengubah kembali Brazil menjadi salah satu pasukan digeruni dan mempunyai falsafah tersendiri di pentas antarabangsa.
Jika tidak, mereka akan terus kempunan dengan Piala Dunia walaupun dibarisi oleh ramai bintang handalan dunia di segenap posisi seperti ditampilkan sekarang.






