Bola Malaysia Ikut Cara Scotland?
Kembali kepada saingan 12 kelab, masanya untuk Liga Super ikut gaya Scotland yang berkesan!
Pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan yang saingan Liga Super 2026/2027 bakal kembali ke format liga 12 pasukan selepas musim lalu pertandingan diadakan dengan bilangan ganjil sebanyak 13 kelab beraksi.
Pengumuman itu sedikit sebanyak menjadikan liga kembali kepada tahap normal selepas musim lalu kita terpaksa menonton saingan dengan akan ada kelab yang ‘direhatkan’ setiap minggu atas faktor jumlah kelab bukan dalam angka genap.
Walaupun MFL tidak mengambil kesempatan ini untuk meluaskan liga kepada saingan 14 atau 16 pasukan, keputusan untuk kembali kepada format liga 12 pasukan sebenarnya membuka ruang untuk badan penganjur liga itu mengubah cara bagaimana saingan tertinggi bola sepak Malaysia dijalankan.
Dengan Liga Super kini sudah pun mengikuti kalendar bola sepak dunia dengan mengadakan liga pada Ogos hingga Mei, seperti yang disarankan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), apa kata MFL mengikut pula corak penganjuran bola sepak gaya Eropah terutamanya dalam menambah jumlah perlawanan.
Ikut cara Scotland
Satu format yang boleh dipertimbangkan oleh MFL untuk diubah supaya lebih banyak perlawanan Liga Super diadakan dan tidak terperangkap kepada jumlah 22 aksi liga saja semusim adalah dengan meniru cara bagaimana bola sepak Scotland diadakan.
Dalam saingan tertinggi Scotland yang dikenali sebagai Scottish Premiership, mereka mempunyai jumlah kelab bertanding serupa dengan Malaysia iaitu 12. Namun begitu, mereka masih mampu beraksi sebanyak 38 kali merentasi Ogos hingga Mei sama seperti liga 20 pasukan seperti English Premier League atau Spanish LaLiga.
Bagaimana mereka lakukannya?
Caranya adalah mewajibkan kesemua 12 kelab bermain sesama sendiri sebanyak tiga pusingan. Hasil daripada itu, setiap kelab sudah bermain 33 perlawanan. Persoalannya, mana nak dapat baki lima perlawanan?
Caranya adalah menerusi split system dengan membahagikan liga kepada dua. Selepas 33 perlawanan, MFL perlu memecahkan liga kepada dua dengan enam kelab teratas bermain sesama sendiri, begitu juga dengan enam kelab terbawah. Dari situ, mereka akan beraksi sebanyak lima perlawanan untuk melengkapkan tugasan 38 aksi liga.
Di Scotland, enam kelab teratas akan beraksi sesama sendiri dengan mereka digelar sebagai Championship Group. Kumpulan fokus ini akan tertumpu kepada misi merebut kejuaraan dan slot ke kejohanan Eropah, dalam konteks Malaysia ia adalah slot untuk ke Asia.
Sementara satu lagi kumpulan melibatkan enam kelab terbawah dikenali sebagai Relegation Group dengan mereka akan berusaha untuk mengelak daripada tersingkir ke divisyen dua.
Akan tetapi, Liga Malaysia tidak mempunyai divisyen dua secara direct oleh itu saingan enam terbawah ini akan tertumpu untuk melihat kepada siapa yang bakal menamatkan saingan di tempat tercorot sahaja.
Bantu kewangan kelab
Dengan menyediakan 38 perlawanan hanya daripada aksi liga sahaja, ia sudah pasti dapat membantu kesemua kelab dalam Liga Super untuk menjana lebih banyak pendapatan. Rumusnya mudah, lebih banyak perlawanan maka lebih banyak peluang untuk mencipta pendapatan menerusi jualan tiket, pengalaman hari perlawanan dan barangan rasmi kelab.
Ia sekali gus dapat membantu kelab-kelab untuk mengelak daripada masalah gaji yang sering tertunggak. Ia kelihatan tidak sihat apabila liga sering mempunyai jurang selama dua hingga tiga minggu selepas beberapa perlawanan seperti yang dilalui Liga Super sejak beberapa musim. Itu tidak termasuk apabila liga mengambil keputusan untuk berehat dan memberi laluan kepada aksi pasukan kebangsaan yang diluar kalendar FIFA.
Namun begitu, penggunaan format ini tetap mempunyai kelemahannya tersendiri seperti kelab akan bertemu lawan serupa sebanyak tiga, empat kali semusim dan itu menjadikan liga kelihatan repetitive, ia tidak termasuk lagi jika mereka bertemu pula dalam Piala FA atau Piala Malaysia – ia mungkin akan membosankan penyokong.
Malah, dengan liga sekarang masih kekurangan kualiti dari segi persaingan merebut kejuaraan, sesetengah penyokong mungkin berasakan saingan liga 38 perlawanan mungkin terlalu panjang dan meletihkan untuk ditonton terutamanya apabila juara sudah pun diketahui sebelum bola ditendang.
MFL masih boleh meneroka lebih banyak cara untuk memastikan liga terus kompetitif dengan pemain mendapat lebih banyak aksi supaya keseluruhan skuad dapat digunakan sebaiknya. Jika tidak mengikut cara Scotland, masih ada model lain yang sesuai yang boleh dipertimbangkan mereka.





