Blue Lock Jadikan Jepun Kian ‘Berani’ Di Piala Dunia
Daripada helaian manga, kini ia direalisasikan sendiri oleh Jepun di pentas Piala Dunia walaupun mereka akhirnya terkandas jua!
Jepun akhirnya menamatkan saingan Piala Dunia 2026 di pusingan 32 terbaik, selepas mereka mencatat kekalahan 1-2 di tangan Brazil.
Jika kita imbas semula perjalanan Jepun sejak tiga edisi lalu saingan Piala Dunia, mereka tidak pernah terlepas untuk sekurangnya mara ke pusingan 16 terbaik, kecuali 2026.
Ya, perubahan format baharu kali ini menyaksikan mereka terkandas di pusingan 32 terbaik sahaja, tetapi secara hakikat pasukan itu tetap berjaya melepasi peringkat kumpulan.
Bercakap tentang Jepun, negara ini sebenarnya tidak lagi boleh dianggap sebagai pelengkap jadual di kejohanan Piala Dunia walaupun mereka dikelilingi negara-negara besar seperti Brazil, Sepanyol, Argentina, atau Perancis.
Sejak tiga musim terakhir Piala Dunia ini, mereka tak pernah walau sekali sekadar terkandas di peringkat kumpulan dengan kali terakhir dilakukan pada edisi 2014.
Memasuki edisi 2018, 2022, dan kini 2026, Jepun memastikan diri mereka bukan sekadar peserta yang melengkapkan kejohanan tersebut, tetapi semakin berani mencabar takhta negara-negara elit.
Faktor kebangkitan ini berlaku disebabkan oleh pelbagai perkara yang membabitkan falsafah permainan, kualiti pemain, program pembangunan…,serta propaganda siri anime, Blue Lock.
Apa peranan Blue Lock kepada Jepun?
Secara ringkas, Blue Lock merupakan siri anime terkenal Jepun yang memfokuskan kepada ego seorang pemain atau tumpuan utamanya kepada sisi seorang penyerang.
Sejak beberapa tahun lalu, Jepun sebenarnya sering dikritik ketika beraksi di pentas antarabangsa kerana masalah ketumpulan penyerang utama bertaraf bintang untuk meledak gol.
Kritikan itu membawa kepada lahirnya manga dan anime Blue Lock yang secara sinis ‘menegur’ kelemahan Jepun dalam melahirkan seorang penyerang yang bersifat egois.
JFA tubuhkan Blue Lock sebenar!
Kesan Blue Lock ini bukan sahaja menjadi sebutan dalam kalangan peminat, malah Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) sendiri cakna, untuk mereka akhirnya menubuhkan kem pembangunan dengan mengambil inspirasi siri berkenaan.
Kem yang diberi nama ‘FUTURE CAMP’ itu diperkenalkan secara rasmi pada 11 Mei lalu dengan bertujuan mencari bakat-bakat muda 16 tahun ke bawah di luar negara yang mempunyai perkaitan dengan Jepun (warisan) dan bertempat di Amerika Syarikat.
Ini bukti mereka mempunyai pelan jangka masa panjang untuk terus memastikan Jepun hadir sebagai pencabar negara-negara besar pada masa hadapan di pentas Piala Dunia, sehingga mampu untuk ke pusingan lebih jauh.
Penyerang Jepun sendiri kian agresif
Sejak beberapa tahun ini juga, penyerang kebangsaan Jepun seperti Ayase Ueda, Daizen Maeda, Ritsu Doan, atau bintang muda meningkat naik mereka, Keisuke Goto (21 tahun) tampak semakin memberansangkan buat kelab serta negara.
Malah, masing-masing kini aktif beraksi di Eropah dan telah pun terbiasa menghadapi perlawanan berintensiti tinggi serta berkualiti untuk disumbangkan buat Jepun.
Dalam empat aksi Piala Dunia 2026 dihadapi Samurai Biru, negara berkenaan tidak pernah sesekali kemarau jaringan dalam semua perlawanan dihadapi.
Secara keseluruhan, Jepun telah merekodkan lapan gol dengan Daichi Kamada dan Ayase Ueda tampak begitu produktif selaku peledak utama.
Produktiviti jaringan Jepun dilihat terus meningkat dan ini merupakan jumlah gol terbanyak direkodkan Samurai Biru dalam kejohanan Piala Dunia sejak edisi 2018 lalu.
•Piala Dunia 2018: 4 perlawanan, 6 gol
•Piala Dunia 2022: 4 perlawanan, 5 gol
•Piala Dunia 2026: 4 perlawanan, 8 gol
Bukti, Jepun menjawab kritikan dan sindiran ramai kepada hasil yang berkesan di Piala Dunia daripada segi kualiti penyudah.
Egois Kaishu Sano ketika bertemu Brazil
Jika anda mahu lihat bagaimana egois seorang penjaring gol yang ditagih pemerhati atau peminat bola sepak Jepun, lihat sahaja ledakan yang dilakar oleh Kaishu Sano ketika bertemu Brazil pagi tadi.
Itu merupakan contoh terbaik yang mungkin akan terus menjadi teras utama Jepun nanti di pentas Piala Dunia edisi seterusnya.
Gerakan yang bermula daripada rampasan bola daripada pemain lawan, Sano meneruskan larian solo walaupun pemain itu mempunyai pilihan membuat hantaran kepada rakan sepasukan di kiri dan kanan.
Keyakinannya itu berbaloi apabila rembatan Sano memastikan Alisson Becker tewas di separuh masa pertama serta mengejutkan kem Brazil buat seketika.
Itu adalah prinsip utama yang ditekankan oleh Blue Lock. Egois seorang pemain untuk mendapatkan gol di pentas tertinggi dunia. Ianya direalisasikan oleh Sano.
Amaran Jepun buat lawan
Walaupun sudah tersingkir, ini sebenarnya menjadi amaran terbaik yang ditinggalkan Jepun untuk membuktikan mereka mampu memberi persaingan atau melakar kejutan walau berdepan dengan negara pilihan seperti Brazil.
2022 sendiri menjadi saksi bagaimana mereka menumbangkan Jerman serta Sepanyol selain mengikat Belanda dan Sweden bagi edisi 2026 di peringkat kumpulan sebelum tewas tipis kepada Brazil.
Ini merupakan negara-negara elit yang dilimpahi ramai bintang di kesebelasan utama dan simpanan yang tidak berjaya untuk ‘membuli’ Jepun.
Pada edisi akan datang, mungkin generasi baharu akan tampil lebih berkualiti dan mampu untuk melangkah jauh.
Sesuatu yang sebenarnya semua negara lain perlu fikirkan, bagaimana Jepun sentiasa mempunyai cara untuk kekal relevan di Piala Dunia dan mencabar negara besar seperti Brazil.







