Faisal Halim tampil antara pemain yang mendapat kritikan dalam kalangan penyokong Selangor, ekoran aksinya dianggap kurang konsisten.
Terdahulu, Selangor berjaya menewaskan cabaran Melaka dalam saingan Liga Super 26/27 walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain sahaja akibat layangan kad merah.
Walaupun terpaksa bermandi peluh dengan kebangkitan cuba dilakar pelawat, skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mengetepikan cabaran Melaka menerusi kemenangan 3-2.
Kemenangan itu juga menyaksikan Selangor kekal tanpa sebarang kekalahan lagi musim ini dengan rekod 100% kemenangan dalam tiga perlawanan diharungi.
Walaupun begitu, beberapa kritikan tetap dilemparkan oleh sesetengah peminat yang kurang berpuas hati dengan situasi semasa pasukan kesayangan mereka.
Faisal Halim curi tumpuan
Salah satu topik kritikan mereka tentunya terarah kepada Faisal Halim yang dianggap gagal memberikan impak lebih baik ketika berdepan cabaran Melaka semalam.
Pada aksi berkenaan, Faisal telah dipertaruhkan dalam kesebelasan utama dan memegang lilitan kapten dengan membawa misi kemenangan buat The Red Giants.
Tetapi Faisal dilihat gagal memberikan impak lebih berkesan dengan beberapa kali gerakannya mudah dipatahkan oleh pertahanan pasukan lawan.
Malah, ada beberapa kali Faisal dilihat begitu lama mengawal bola dan tidak melepaskannya kepada rakan sepasukan yang mempunyai peluang lebih terbuka untuk mendapatkan gol.
Situasi lain menyaksikan pemain berusia 28 tahun tersebut juga membuat beberapa percubaan yang tidak perlu dan kurang memberi ancaman seperti kebiasaan dilakukan.
Kritikan buat Miki
Siruasi tersebut menyaksikan banyak kritikan dan teguran diberikan oleh penyokong supaya beliau tidak terus mengulanginya lagi kerana ia dianggap mampu merugikan pasukan.
Pada masa sama, ada yang menasihatkan Faisal supaya menilai semula aksi beliau semalam untuk melihat kelemahan semasa serta kembali memperbaikinya pada perlawanan akan datang.
Situasi lain menyaksikan ada penyokong berharap supaya Faisal direhatkan seketika untuk memberi peluang buat pemain berkenaan bangkit semula dengan lebih menyakinkan.
Faisal perlu bangkit
Persaingan masih lagi panjang, dan Faisal perlu bangkit memperbaiki kualiti permainan beliau untuk kekal relevan dalam kesebelasan utama bersama Selangor.
Tampil dengan status penyerang terbaik musim 25/26, sudah tentu ramai mengharapkan Faisal kekal konsisten dan tidak perlu tamak untuk memberi sumbangan besar kepada posisi serangan The Red Giants.
Apapun, inilah lumrah pemain bola sepak. Ada ketika mereka mampu menjadi seseorang yang sangat berkualiti tinggi dan meraih pujian para penyokong.
Tetapi, ada harinya mereka tidak konsisten dan membuag beberapa kesalahan yang mengundang perhatian peminat atau pemerhati bola sepak untuk melampiaskan kritikan mereka daripada pelbagai sudut.
Kredit foto: Shah Amirul untuk Semuanya BOLA





