Bintang Real Madrid Megah Di Piala Dunia 2026
Lain macam penangan pemain Real Madrid kali ini di pentas Piala Dunia 2026!
Saingan Piala Dunia 2026 telah pun memasuki aksi ketiga peringkat kumpulan dengan membawa pelbagai cerita menarik untuk diperkatakan.
Salah satu perkara menarik dibincangkan dalam kalangan peminat kini, terarah kepada beberapa pemain kelab Real Madrid yang tampak sangat menyerlah dalam kejohanan tersebut bersama negara masing-masing.
Sebelum itu, Real antara yang menjadi tumpuan ekoran tiada mana-mana wakil pemain mereka yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Sepanyol.
Dean Huijsen antara yang menjadi pertikaian peminat, ekoran kualiti permainan beliau yang menyerlah terdahulu gagal menarik kem kejurulatihan Sepanyol untuk dipanggil ke Piala Dunia 2026.
Walaupun begitu, beberapa pemain mereka yang dipanggil bersama negara masing-masing kali ini dianggap cukup bersinar walau baru menghadapi beberapa aksi peringkat kumpulan.
Vinicius Jr. kian berbisa
Bersama Real Madrid, nama Vini mungkin antara yang kerap dikritik ekoran ketajaman beliau yang tidak konsisten baik di peringkat domestik atau saingan UCL.
Tetapi, sebaliknya berlaku di pentas Piala Dunia, apabila Vini menjadi pemain paling aktif menyumbang gol selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat Kumpulan C.
Setakat ini, pemain berusia 25 tahun itu telah pun menyumbang lima jaringan bersama Brazil dan menjadi kunci utama kekuatan serangan negara tersebut sejak tiga perlawanan lalu.
Kylian Mbappe kekal berpengaruh
Di kem Perancis pula, Kylian Mbappe meneruskan rentak ketajaman beliau dengan cukup baik selaku penyerang utama dan telah merekodkan empat gol peribadi.
Menariknya, Mbappe baru mengharungi dua perlawanan dan beliau meledak dua gol bagi setiap aksi diharungi di peringkat Kumpulan I dengan sangat konsisten.
Konsistensi beliau bersama Real Madrid dan Perancis daripada segi rekod jaringan menjadikan beliau selaku tumpuan utama pada saingan kali ini dalam kalangan peminat.
Brahim Diaz teraju serangan Maghribi
Pada usia 26 tahun, Brahim dilihat semakin matang dalam permainan beliau termasuk di pentas Piala Dunia 2026, untuk menjadi tunjang serangan Maghribi.
Walaupun masih tidak merekodkan sebarang gol, Brahim kini telah pun menyumbang dua ‘assist’ ketika Maghribi berdepan Scotland dan Brazil di peringkat Kumpulan C.
Kreativiti dan visi beliau digunakan dengan sangat baik dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk menjadikan dirinya tumpuan ramai penyokong.
Marc Cucurella seimbang bersama Sepanyol
Secara teknikal, Cucurella tetap dianggap pemain Real Madrid, selepas beliau sah menyertai kelab tersebut ketika kejohanan Piala Dunia 2026 bermula.
Bekas pertahanan Chelsea ini menjadi nadi penting buat Sepanyol dan menawarkan keseimbangan baik daripada segi pertahanan atau di posisi serangan.
Malah, beliau juga memastikan Sepanyol kekal kebal dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan H dengan pasukan itu masih lagi belum dibolosi sebarang gol.







