Bintang Muda Paling ‘Underrated’ Piala Dunia 2026
Konsisten sejak aksi pertama sampai ke final, tapi tak ramai sangat awalnya bercakap tentang beliau.
Bercakap tentang bakat-bakat muda Piala Dunia 2026, begitu banyak cerita menarik untuk kita perkatakan impak mereka bersama negara masing-masing.
Saingan kali ini bukan sekadar memfokuskan kepada tonggak senior atau bintang terkenal di atas padang sahaja, sebaliknya pemain-pemain muda ini turut hadir dengan sisi tersendiri.
Misalnya, Pau Cubarsi. Pertahanan utama Sepanyol ini boleh kita anggap sebagai pemain muda yang cukup menonjol dan kini menjadi antara sebutan ramai peminat.
Apa yang Pau buat sampai menjadi sebutan ramai?
Pada aksi bertemu Argentina pagi tadi, pemain muda itu cukup tenang dan cepat dalam membuat keputusan bagi memastikan siri serangan berbisa pasukan lawan dapat dihalang sebaik mungkin.
Gandingannya bersama Aymeric Laporte boleh dikatakan cukup baik pada aksi berkenaan dan beliau konsisten sehingga ke wisel penamat selaku pertahanan utama.
Hasilnya, Sepanyol berjaya meraih gelaran juara Piala Dunia 2026 dan langsung tidak dibolosi sebarang gol ketika berdepan dengan salah satu negara yang cukup kukuh di posisi serangan.
Sumbangan besar Pau di Piala Dunia 2026
Pada usia 19 tahun, Pau telah memastikan dirinya menjadi pilihan utama Luis De La Fuente sejak aksi pertama menentang Cabo Verde di peringkat kumpulan.
Kepercayaan Luis kepada Pau wajar dipuji walaupun pasukan itu mempunyai beberapa lagi nama pertahanan berpengalaman yang diletakkan pada bangku simpanan.
Hasilnya, Pau memastikan Sepanyol menjadi satu-satunya negara yang paling sedikit dibolosi pada saingan Piala Dunia 2026 ini dan berjaya meraih gelaran selaku juara.
Bayangkan, lapan perlawanan diharungi dengan mereka berdepan negara handalan seperti Argentina, Portugal, Belgium, dan Perancis yang mempunyai bintang serangan handalan, tetapi hanya dibolosi satu gol sahaja.
Itupun ketika aksi suku akhir menentang Belgium, apabila Sepanyol merekodkan kemenangan tipis 2-1 ke atas lawan sebelum mara ke peringkat berikutnya.
Pujian penuh daripada peminat
Di media sosial, pelbagai pujian diberikan oleh peminat kepada Pau, dengan ramai semakin sedar betapa berkualitinya pemain berkenaan pada usia masih muda.
Tak lupa ada yang menganggap Pau sebagai penerus legasi terbaik Carles Puyol yang suatu ketika menjadi kebanggaan negara tersebut selaku pertahanan kental.
Jika sebelum ini, ramai melihat Lamine Yamal sebagai simbol kebanggaan bakat muda Sepanyol, kini perkara sama turut diletakkan kepada Pau.
Sebelum menginjak usia 20 tahun, pemain muda ini sudah pun merangkul trofi Piala Dunia pertama dalam karier profesional. Suatu kejayaan cukup besar selaku pemain bola sepak.
Apapun, tahniah Sepanyol, kerana sekali lagi mereka muncul juara dan berjaya menghasilkan bakat-bakat muda cukup berkualiti seperti Pau dan Yamal untuk dipertaruhkan.






