Kuching City terus dirundung malang musim ini, apabila pasukan tersebut merekodkan kekalahan mereka untuk kali kedua secara berturut-turut, dengan terbaharu mereka tewas kepada Selangor.
Dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA 26/27, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terpaksa akur di tangan tuan rumah apabila mereka mencatat kekalahan tipis 1-2 dengan aksi yang cukup sengit.
Pada aksi berkenaan, Kuching City sebenarnya bermula dengan sangat baik sehingga mereka mampu mendahului The Red Giants menerusi ledakan Ramadhan Saifullah pada minit ke-9.
Namun, kelebihan berkenaan berjaya dipadam skuad kendalian Kim Pan-gon yang cemerlang bangkit mendapatkan dua gol hasil jaringan daripada import mereka, Eduardo Sosa yang mengesahkan kemenangan pasukan tersebut di pusingan pertama.
Tewas pada aksi berkenaan, sekelompok penyokong mula meluahkan rasa resah mereka dengan nasib semasa Kuching City daripada segi prestasi selain beberapa pemain turut dikritik.
Safawi Rasid tak beri impak
Salah seorang pemain yang ‘popular’ dalam kalangan penyokong Kuching City kini terarah kepada tonggak baharu mereka musim ini, Safawi Rasid yang dianggap masih gagal menyerlah.
Pada aksi berkenaan, Safawi diletakkan dalam senarai kesebelasan utama dengan harapan mampu memberi sokongan lebih baik buat posisi serangan kelab dari Sarawak tersebut.
Namun, impak Safawi seolah-olah gagal dirasai apabila beliau dilihat kurang memberi ancaman kepada pertahanan lawan serta tidak mampu mengikut rentak perlawanan yang sangat pantas.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Safawi dikritik, apabila beliau terdahulu juga dilihat masih sukar menyesuaikan diri bersama Kuching City walaupun membawa reputasi yang cukup besar.
Musim lalu, Safawi antara penjaring berbisa tempatan apabila beliau merekodkan 19 sumbangan gol secara keseluruhan bersama Kuala Lumpur City daripada 31 penampilan di pentas domestik.
Hadir dengan reputasi yang cukup tinggi, sudah tentu penyokong Kuching City meletakkan harapan tinggi daripada gaya permainan Safawi yang lincah dan tajam di hadapan gawang gol.
Walaupun dikritik, Safawi sebenarnya tidak terlalu lemau apabila pemain kelahiran Terengganu itu sudah pun menyumbang tiga gol musim ini buat Kuching City.
Banyak perlu diperbaiki Kuching City
Secara keseluruhan, tidak wajar untuk kita meletakkan kesalahan kepada Safawi sahaja apabila pemain lain termasuk Jerome Etame sendiri dilihat tidak konsisten kebelakangan ini.
Malah, corak permainan Kuching City juga antara sering dikritik kerana kelemahan mereka daripada segi cengkaman di bahagian tengah yang sangat lemah serta tidak begitu kreatif dalam menghasilkan peluang gol.
Selepas ini, pasukan tersebut bakal bertemu dengan wakil kelab dari Korea Selatan, Gangwon di pentas AFC Champions League 2 (ACL 2) yang dianggap juga sangat getir buat Kuching City.
Gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam dua perlawanan lalu di saingan tersebut, suka atau tidak Aidil Sharin sendiri perlu merancang pasukan tersebut sebaik mungkin demi mengelak sesuatu tidak diingini.
Berkemungkinan juga Safawi bakal direhatkan pada perlawanan akan datang demi memastikan prestasi beliau kembali berada pada tahap terbaik dengan beberapa pemain seperti Shamie Iszuan mungkin menjadi pilihan utama.






