Bila Main Bola Sepak Tak Guna Otak
Kekalahan pertama Indonesia di tangan Vietnam jelas kurang disenangi para penyokong mereka.
Indonesia akhirnya mencatat kekalahan sulung mereka di pentas Piala Asean 2026, selepas mereka diaibkan oleh Vietnam menerusi keputusan 0-3.
Beraksi di halaman sendiri serta bersama sorakan padu para penyokong setia, jelas ia belum cukup untuk membantu Sang Garuda merekodkan keputusan lebih positif pada aksi ketiga mereka.
Imbas kembali, pada aksi tersebut Indonesia selaku pasukan tuan rumah menyenaraikan pemain-pemain utama mereka termasuk tujuh pemain warisan, seorang naturalisasi dan tiga tonggak tempatan dalam misi mendapatkan kemenangan.
Sementara itu, Vietnam hanya menyenaraikan seorang pemain warisan dan menggunakan satu tonggak naturalisasi untuk berdepan cabaran Indonesia yang hadir selaku pilihan utama.
Tetapi, jangkaan ramai kepada Indonesia tidak seperti diharapkan, apabila mereka tewas dan begitu mudah dimanipulasi oleh pasukan pelawat sepanjang tempoh permainan berlangsung di Stadium Pakansari,Bogor.
Beberapa persoalan timbul, mengapa Indonesia boleh tewas, sedangkan mereka mempunyai barisan pemain lebih unggul berbanding pasukan lawan baik di kesebelasan utama, atau di bangku simpanan.
Vietnam main guna otak
Jika kita lihat pada statistik perlawanan, jelas Indonesia sebenarnya lebih menguasai permainan dan mempunyai beberapa peluang keemasan untuk merekodkan gol dalam tempoh 90 minit itu.
Tetapi, mereka juga menjadi pasukan paling banyak mensia-siakan peluang dan segala gerakan cuba dicipta begitu mudah dibaca lawan, terutama menerusi posisi tengah Sang Garuda.
Berbanding Vietnam, mereka tenang menyerap serangan lawan dan tidak begitu menghadapi masalah untuk membaca apa gerakan bakal dicipta oleh pasukan tuan rumah dari pelbagai arah.
Tiga jaringan skuad kendalian Kim Sang-sik juga boleh dikatakan cukup berkelas dunia, terutama gol kedua Vietnam yang dicetuskan menerusi siri serangan balas pantas, hasil satu hantaran lolos daripada Le Pham Thanh Long yang bijak melepasi garisan pertahanan lawan serta menemui Nguyen Hai Long untuk menewaskan Nadeo argawinata.
Apa yang menarik, Vietnam bukan bersandarkan kepada pelan taktikal di atas padang sahaja, sebaliknya mereka juga sangat genius untuk memanipulasi kelemahan pertahanan Indonesia dan tidak terburu-buru dalam mendapatkan jaringan.
Indonesia perlu tingkatkan keupayaan otak di atas padang
Dalam bola sepak, kemahiran berfikir dan tidak terlalu bergantung harap kepada jurulatih di tepi padang juga sangat penting selain hanya berpaksikan keupayaan skil serta pengalaman setiap individu.
Di sini Indonesia jelas masih berada pada tahap masih rendah jika dibandingkan oleh Vietnam yang cepat mengkaji dan tahu bagaimana nak mengeksploitasi kelemahan pasukan tuan rumah sejak awal aksi berlangsung.
Tidak dinafikan mereka mempunyai penguasaan bola dan berjaya merekodkan beberapa peluang juga ke atas pelawat, namun segalanya tidak berguna apabila keputusan akhir perlawanan menjadi milik Vietnam.
Di media sosial juga, beberapa penyokong Indonesia sendiri mengakui pemain-pemain Indonesia kebanyakannya tidak menggunakan IQ ketika beraksi dan lebih bernafsu untuk terus mendapatkan jaringan.
Jika situasi serupa terus berlaku, peluang mereka pada saingan Piala Asean ini mungkin tipis kerana negara seperti Thailand dan Singapura juga antara yang bijak menggunakan akal di atas padang dan tenang dalam permainan.






