Bijak Seperti Ajdin Mujagic
Rasanya, ramai pemain boleh menjadikan Ajdin Mujagic sebagai contoh, jika kita lihat pada kebijaksanaannya pada saingan musim ini.
Nama penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Ajdin Mujagic antara yang cukup menarik untuk kita bincangkan sebenarnya menerusi statistik atau perjalanan beliau di Liga Malaysia kini.
Pada musim pertama di Malaysia, Ajdin tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri dan menjadi antara penyerang cukup berbisa depan gawang gol.
Ditandatangani Sabah pada awal musim, nama Ajdin terus melonjak dengan cepat, terutama ketika bersama kelab tersebut dalam kejohanan Piala FA.
Statistik gol sangat positif
Bersama Sabah, Ajdin berjaya menyumbang 20 jaringan daripada 22 perlawanan diharungi dengan aksi ditampilkan cukup memukau selaku penyerang utama kelab.
Malah, Ajdin juga berjaya menempatkan diri selaku penjaring terbanyak Piala FA musim ini dengan sembilan gol direkodkan pemain berkenaan dalam tujuh perlawanan termasuk di pentas akhir.
Sepanjang bersama Sabah juga, peledak berusia 28 tahun ini turut merekodkan satu hatrik ketika berdepan Kelantan TRW dalam aksi Piala FA di Likas .
Perubahan karier lebih positif
Pada jendela perpindahan kedua musim ini, Ajdin akhirnya dilamar JDT untuk terus memperkukuhkan posisi serangan Harimau Selatan di pentas domestik.
Kehadiran Ajdin pada awalnya kurang mendapat tumpuan ramai, dek kerana ada yang meragui jika beliau mampu atau tidak mengulangi kejayaan seperti di Sabah.
Tetapi, beliau tidak memerlukan masa panjang untuk terus membuktikan diri selaku penyerang import berbahaya di Malaysia musim ini walau bertukar kelab.
Pemain dari Bosnia ini hanya memerlukan tiga perlawanan awal sahaja untuk merekodkan lima gol dan tiga bantuan jaringan, termasuk satu ledakan hatrik ketika berdepan Melaka.
Sehingga kini pula, Ajdin sudah menyumbang 10 gol buat JDT setelah mengharungi 9 perlawanan bersama kelab tersebut di pentas domestik.
Langkah bijak Ajdin
Apa boleh kami perkatakan, ini merupakan langkah bijak dilakukan penyerang tersebut untuk berhijrah menyertai JDT, kerana beberapa sebab.
•Lonjakan karier peribadi
•Persekitaran lebih berkualiti
•Tingkatkan kualiti permainan
Bersama JDT, pemain ini mempunyai segalanya untuk memperbaiki karier menjadi lebih baik daripada sebelumnya, terutama daripada segi statistik dan trofi.
Menerusi persekitaran yang baik seperti fasiliti lengkap, kejurulatihan profesional, dan pengurusan berkualiti, tidak hairan ia mampu membentuk Ajdin menjadi semakin bagus daripada prestasi di atas padang.
Malah, kualiti permainan beliau juga sudah tentu akan melonjak kerana persaingan sengit sesama rakan sepasukan untuk merebut kesebelasan utama dalam setiap perlawanan akan datang.
Paling menarik, Ajdin berpeluang bermain di pentas tertinggi Asia musim hadapan jika beliau terus kekal dan konsisten bersama JDT. Suatu peluang yang cukup berharga.
Jadi tak salah untuk kita kata, bijak seperti Ajdin untuk memperbaiki karier menjadi lebih baik dan tidak sentiasa berada di tempat selesa.






