Biarkan Deniz Undav ‘Memasak’ Di Piala Dunia 2026
Daripada tak ramai kenal sangat, tiba-tiba beliau jadi bintang utama dengan Jerman ketika ini.
Saingan Piala Dunia sentiasa menjanjikan pelbagai kejutan dan cerita menarik sebenanya dalam kalangan pemain setiap negara yang menyertainya.
Ada yang memang sudah dijangkakan sebagai bintang utama sebelum tirai saingan bermula dan menepati ramalan ramai dengan kualiti permainan mengujakan seperti Lionel Messi dan Kylian Mbappe.
Paling menjadi tumpuan, sudah tentu terhadap beberapa nama pemain kurang dikenali atau menyerlah bersama kelab sebelum itu yang tiba-tiba meletup nama di pentas Piala Dunia 2026.
Ini yang menjadikan saingan tersebut begitu menarik untuk diperkatakan, terutama sekali dalam kalangan penyokong yang tiba-tiba sahaja dapat mengenali pemain baharu menyerlah seperti penjaga gol Curacao, Vozinha.
Selain itu, nama pemain kebangsaan Jerman, Deniz Undav juga secara tiba-tiba meletup di pentas Piala Dunia kali ini menerusi impak telah diberikannya.
Ketajaman Undav jadi tumpuan
Sepanjang mengharungi dua perlawanan Kumpulan E menentang menentang Curacao dan Ivory Coast, Undav tampil dengan aksi yang cukup menyakinkan bersama sumbangan gol.
Lebih menarik, Undav bermula dari bangku simpanan pada dua perlawanan tersebut dan cepat memberikan impak ketika kemasukannya menuju ke penghujung perlawanan.
Setakat ini, Undav telah pun merekodkan tiga gol dan dua bantuan jaringan selepas mengharungi dua perlawanan di peringkat kumpulan dengan aksi konsisten.
Lebih menarik, Undav tidak beraksi dalam kesebelasan utama dan hanya memerlukan beberapa minit dari bangku simpanan sebelum ke penghujung aksi untuk membuktikan ketajamannya.
Ini yang menjadikan nama beliau dalam sebutan para peminat, ekoran impak positif yang pantas diberikannya untuk dua perlawanan berturut-turut bersama Jerman.
Undav dijulang peminat
Dalam kalangan penyokong di media sosial, ramai memberi pujian penuh kepada Undav selepas melihat aksi suramnya terdahulu bersama Brighton di England.
Penghijrahan beliau bersama Stuttgart menjadi titik tolak kebangkitannya kembali untuk Undav membuktikan dirinya selaku antara penyerang terbaik dimiliki Jerman kini di pentas antarabangsa.
Bersama Jerman kini, Undav telah pun merekodkan 13 sumbangan gol secara keseluruhan daripada 11 perlawanan diharunginya bersama negara itu dalam beberapa kejohanan.
Walaupun lebih kerap bermula di bangku simpanan, Undav tidak sesekali hilang fokus dan sentiasa memberikan segalanya yang diperlukan negara tersebut untuk memburu gol.
Dengan penglibatan jaringan yang sangat baik kini di pentas Piala Dunia, bukan suatu menghairankan jika ada beberapa kelab lebih besar sudah mengintai peluang mendapatkan penyerang tersebut nanti.





