Beri Saja Ballon d’Or Kepada Dembele
Salah seorang pemain yang cukup lengkap untuk posisi serangan berkelas dunia.
Ousmane Dembele akhirnya tampil dengan mencuri tumpuan ramai penyokong bola sepak seluruh dunia menerusi ketajaman dimilikinya bersama Perancis.
Pada aksi yang berlangsung pagi tadi, Dembele mencuri tumpuan ramai terutama pada babak separuh masa pertama membabitkan pertemuan Perancis dan Norway menerusi ledakan hatriknya.
Ya, Dembele yang dipertaruhkan dalam kesebelasan utama tampak begitu menyerlah untuk membentuk gandingan serangan bersama rakan sepasukan, Kylian Mbappe dalam memecahkan blok pertahanan kental lawan.
Beraksi sehingga ke minit-65, jelas penyerang berusia 29 tahun itu memperoleh pujian penuh para penyokong kerana konsistensi ditampilkannya dalam mendapatkan gol.
Malah, ramai mula membayangkan jika penyandang gelaran Ballon d’Or 2025 itu mungkin akan mampu dipertahankan sekiranya Dembele kekal konsisten di saingan Piala Dunia 2026.
Statistik dan kualiti Dembele menyakinkan
Sepanjang mengharungi saingan Piala Dunia 2026 peringkat Kumpulan I ini, Dembele telah pun menyumbang lima jaringan dalam tiga perlawanan dihadapi.
Secara pecahan, penyerang berbisa ini telah merekodkan empat gol peribadi bersama satu bantuan jaringan yang dilakukan ketika bertemu Iraq buat Mbappe.
Bagi aksi hari ini pula, Dembele menunjukkan ciri-ciri yang cukup lengkap selaku seorang pemain serangan daripada segi,
•Gelecekan
•Ketajaman
•Kekuatan fizikal
•Visi
Kelebihan dimiliki itulah yang menjadikan siri serangan Perancis musim ini sangat berbahaya dan lawan tidak wajar untuk memberikan fokus kepada Mbappe atau Michael Olise sahaja.
Ini kerana Dembele sudah pun membuktikan dirinya juga cukup berbahaya dan ada sebab mengapa beliau dijulang selaku pemenang Ballon d’Or edisi 2025 lalu.
Raih pujian peminat
Di media sosial, pelbagai pujian telah diberikan peminat, terutama penyokong Perancis dengan ada beranggapan negara tersebut terlalu lengkap kini di posisi serangan.
Malah, ada juga turut menyifatkan ini peluang terbaik sebenarnya buat Dembele untuk terus mengekalkan gelaran selaku pemenang Ballon d’Or.
Walaupun tampil perlahan bersama Paris Saint-Germain (PSG) akibat isu kecederaan dialami, pemain ini tampil bangkit dengan cukup luar biasa dalam saingan Piala Dunia 2026.
Pada masa sama, Mbappe juga turut mendapat perhatian peminat ekoran sikap beliau yang tidak mementingkan diri untuk membuka peluang kepada Dembele mendapatkan gol.
Kini, Dembele juga turut tersenarai dalam kategori lima penjaring semasa terbanyak Piala Dunia dengan empat gol peribadi sudah dicatat beliau sejak tiga perlawanan lalu.






