alaysia secara rasminya bakal menghadapi aksi persahabatan pertama mereka bulan ini dengan menghadapi China di gelanggang lawan, Stadium Zhaoqing, New District Sport Centre pada waktu 8 malam Malaysia.
Dengan pelbagai isu yang melanda kem kebangsaan sebelum aksi bermula, sudah tentu ada yang menjangkakan Malaysia bakal menghadapi kesukaran berdepan pasukan tuan rumah.
Pandangan tersebut secara dasarnya tidak salah, kerana Malaysia hadir serba tempang tanpa tonggak-tonggak utama yang sebelum ini menjadi kekuatan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Malah, beberapa pemain daripada skuad simpanan negara juga turut dipanggil, selepas sebahagian tonggak utama Malaysia menarik diri akibat kecederaan menerusi laporan dikeluarkan terdahulu.
Walaupun begitu, masih ada yang positif dengan perjalanan Malaysia untuk mengharungi dua aksi persahabatan di China, kerana pemain sedia ada juga bukan calang-calang untuk diperkatakan bagi memberi tentangan sengit kepada lawan.
Tambahan pula, elemen kejutan juga sudah sering Tan Cheng Hoe persembahkan kepada kita walaupun ada beberapa perubahan terpaksa dibuat oleh pengendali tersebut jika kita lihat pada aksi-aksi lalu.
Fergus Tierney dan momentum positif
Salah seorang pemain paling mencuri tumpuan untuk dua aksi persahabatan Tier 1 ini terarah kepada penyerang muda Harimau Malaya, Fergus Tierney yang kini cemerlang di bumi Eropah bersama ALS Omonia (Cyprus).
Pada usia 23 tahun, tidak ramai menjangkakan Tierney mampu menyerlah buat pertama kali di Eropah dalam saingan utama Cyprus bersama ALS Omonia musim ini.
Bersama ALS Omonia, Tierney bukan sahaja kerap dijadikan sebagai pemain dalam kesebelasan utama bersama bintang senior lain, tetapi turut merekodkan statistik sumbangan gol yang cukup menyakinkan.
Sehingga kini, sudah 4 sumbangan gol sudah direkodkan pemain berusia 23 tahun itu selepas mengharungi 9 perlawanan bersama kelab berkenaan di pentas domestik. Suatu angka yang cukup menyakinkan.
Rekod semasa beliau bersama Malaysia juga sebenarnya juga sangat bagus, apabila Tierney masih segar dengan jaringannya ketika Harimau Malaya menewaskan Vietnam ketika kejohanan Piala Asean FIFA 2026.
Tierney selaku penyerang utama
Dengan kualiti fizikal, pengalaman semasa di Eropah, dan momentum yang cukup baik kini, menjadi suatu tanda tanya sebenarnya jika Tierney tidak diletakkan dalam senarai kesebelasan utama Harimau Malaya hari ini.
Walaupun begitu, pesaing Tierney sendiri tidak kurang hebatnya dengan pemain muda tersebut perlu berdepan tonggak senior negara lain seperti Romel Morales serta Paulo Josue di posisi utama serangan.
Tetapi, siapa tahu apa ada dalam fikiran Tan yang mungkin menyaksikan Tierney selaku pilihan utama untuk menghadapi China hari ini, sebagai ujian terbaik buat bintang muda itu untuk mempamerkan kualitinya.
Atau, Tan sendiri meletakkan duo serangan Josue bersama Tierney sebagai eksperimen terbaharu untuk melihat jika kedua pemain berkenaan mampu serasi dan mencipta peluang-peluang jaringan lebih besar.
Walaupun begitu, tidak salah juga untuk menjadikan Tierney selaku ‘supersub’ dengan beliau dibawa masuk pada separuh masa kedua dan memberi kesegaran buat serangan negara menerusi kualitinya dalam melakukan larian pantas dan mengerahkan kekuatan fizikal.
Apapun, semoga Malaysia mampu meraih keputusan positif dalam dua aksi persahabatan ini dan membuktikan kita mampu gah di pentas antarabangsa walau dengan pemain-pemain berbeza dipertaruhkan.






