Buat julung kalinya beraksi di pentas Liga Super, Kelantan Red Warrior (KRW) tampaknya hadir dengan serba tidak menjadi bersama persiapan tidak lengkap jika dibandingkan kelab lain.
Tatkala pasukan-pasukan lain giat menandatangani para pemain baharu termasuk tenaga import, kelab berkenaan kekal dengan hanya tonggak sedia ada sahaja.
Ini kerana KRW tidak dapat membawa masuk para pemain baharu kerana ‘transfer ban’ yang telah dikenakan oleh FIFA terlebih dahulu dan masih belum diselesaikan lagi kini.
Ianya bermakna, skuad kendalian Irfan Bakti kini hanya menggunakan pemain sedia ada sahaja yang sebelum itu bermain untuk saingan semi-pro A1 pada musim lalu termasuk dua import.
Seperti dijangka, tiada keputusan positif dapat dilakar pasukan dari Kelantan itu kini selepas tiga kekalahan berturut-turut terpaksa ditelan mereka kini dalam saingan Liga Super 26/27.
Statistik semasa KRW
Untuk rekod semasa, KRW kini telah mencatat kekalahan untuk kali ketiga berturut-turut pada awal musim ini ketika berdepan Selangor, JDT, serta Kuching City.
Ini merupakan keputusan perlawanan KRW ketika berdepan kelab berkenaan:
•Tewas 1-4 vs Selangor
•Tewas 0-9 vs JDT
•Tewas 0-5 vs Kuching City
Pasukan tersebut hanya mampu merekodkan satu gol sahaja daripada tiga perlawanan tersebut, serta bolos sebanyak 18 kali.
Penyokong memahami KRW
Walaupun begitu, penyokong KRW rata-rata tidak menyalahkan nasib pasukan tersebut yang menjadi kelab belasahan dalam tiga aksi awal Liga Super musim ini.
Ini kerana kebanyakan mereka memahami nasib KRW yang hadir dengan serba kekurangan daripada segi pemain tempatan lebih berkualiti serta tenaga tambahan daripada import jika dibandingkan pasukan lain.
Apatah lagi KRW juga terpaksa berdepan dengan tiga kelab terbaik Liga Super musim ini seperti JDT, Kuching City, dan Selangor yang diketahui serba lengkap dan mempunyai kualiti permainan cukup tinggi.
Malah, ada di ruangan komen yang menyatakan KRW boleh bangkit pada aksi akan datang dengan menampilkan keputusan lebih positif untuk cuba mendapatkan mata pertama pada saingan musim ini.
Belajar daripada Kuching City
Imbas kembali perjalanan Kuching City pada musim pertama mereka di Liga Super, mereka juga hadir dengan serba tidak menjadi dan kerap merekodkan kekalahan.
Menariknya, mereka tidak pernah mengalah dan setiap musim pasukan tersebut membuat perubahan demi perubahan secara perlahan-lahan untuk kini menjadi salah satu gergasi Malaysia.
KRW tidak perlu terlalu gusar dan belajar sahaja daripada pengurusan Kuching City untuk mencipta pengurusan lebih strategik pada masa hadapan dan hadir bersama persediaan lebih rapi.
Apapun, perjalanan liga masih panjang dan sama-sama kita doakan supaya KRW bebas daripada ‘transfer ban’ supaya pasukan berkenaan mampu hadir dengan lebih menyakinkan.






