Musim pertama di pentas Asia, Kuching City nampaknya masih lagi bergelut daripada segi penyesuaian mereka untuk tampil lebih baik daripada segi kualiti permainan.
Musim 26/27, Kuching City menjadi pasukan kedua selain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mewakili Malaysia untuk mengharungi dua kejohanan di pentas Asia dalam saingan AFC Champions League serta ACC Shopee Cup.
Seperti kita tahu, JDT antara muka tetap yang mewakili Malaysia sejak beberapa tahun lalu dalam kejohanan Asia dan kini sudah pun bergelar sebagai salah satu pencabar terkuat.
Buat Kuching City, ini merupakan detik sulung mereka sejak penubuhan kelab tersebut untuk bermain di pentas Asia dengan segala persiapan sudah dibuat termasuk beberapa muka baharu ditandatangani.
Malah, mereka sudah pun mengharungi dua aksi di pentas Asia bagi kejohanan AFC Champions League 2 (ACL 2) dan ACC Shopee Cup semalam bertemu Tampines Rovers dari Singapura.
Masih belum konsisten
Jika diikutkan, prestasi semasa Kuching City di pentas domestik sangat menyakinkan musim ini apabila mereka hanya mencatat satu kekalahan sahaja ketika bertemu JDT pada aksi pertama 26/27.
Selebihnya, mereka masih belum tewas dan menampilkan kualiti selaku salah satu pasukan pilihan bawah kendalian Aidil Sharin Sahak bagi saingan Liga Super serta Piala FA.
Namun, prestasi di saingan pertama ACL 2 sedikit mengejutkan, apabila Kuching City mencatat kekalahan 1-2 ketika bertemu wakil kelab dari Kemboja, Phnom Penh Crown.
Malah, mereka juga hanya merekodkan keputusan seri 2-2 sahaja semalam walaupun menguasai permainan ketika menentang cabaran Tampines Rovers.
Ada kerisauan yang mula terbit dalam kalangan peminat mengenai prestasi pasukan kesayangan mereka ketika beraksi di pentas Asia jika dibandingkan saingan peringkat domestik.
Belajar daripada JDT
Namun, tak perlu dirisaukan sebenarnya kerana JDT pada awal penampilan mereka di saingan Asia juga bukanlah hadir dengan sangat kuat sebaliknya perlahan-lahan kelab itu belajar daripada pengalaman dan terus membangun.
Sama seperti Kuching City juga, mereka perlu terus belajar dan bangkit semula menjadi lebih kuat seperti apa mereka alami sendiri ketika awal penampilan di Liga Super dahulu.
Pada tahun 2023, mereka hanya sebuah kelab belasahan sahaja di Liga Super sebelum kini mereka menjadi antara pencabar terkuat di pentas domestik dan memberi persaingan cukup kuat.
JDT bukan hanya menandatangani pemain atau kejurulatihan berkualiti sahaja untuk menjadi salah satu pasukan terkuat kini, tetapi pengalaman mereka juga menjadikan kelab berkenaan sentiasa beradaptasi saban musim di pentas Asia.
Tidak mengapa kalau masih terkial-kial pada awal musim di peringkat Asia, tetapi mereka perlu terus belajar daripada pengalaman dan cuba konsisten melayakkan diri setiap musim di pentas antarabangsa.
Belajar sahaja daripada JDT, kerana untuk menjadi pasukan yang kuat kita perlu belajar daripada kelab yang berkualiti seperti ditampilkan oleh Harimau Selatan.






