Bagaimana Negeri Sembilan Kembali Perbaiki Aspek Kelemahan Semasa Mereka
Negeri Sembilan menjadi antara kelab yang ketika ini sangat aktif dalam menandatangani beberapa pemain baharu.
Ketika jendela perpindahan dibuka, ramai sebenarnya memberi tumpuan kepada Hoben Jang Hoben, terutama sekali dalam kalangan penyokong setia kelab tersebut.
Awal musim 2025/2026, pasukan ini sebenarnya tampil dengan rombakan yang sangat besar terutama dalam kalangan pemain import di segenap posisi, dalam usaha memperbaiki prestasi musim lalu.
Musim lalu, pasukan ini sekadar menamatkan kedudukan mereka di tangga kedua tercorot liga, dan tak ramai menjangkakan mereka mampu bangkit dengan sangat baik kini daripada segi prestasi semasa.
Tetapi, isu konsistensi mula mempengaruhi skuad kendalian Nidzam Jamil terutama sekali apabila mereka kerap kehilangan mata di gelanggang pasukan pasukan lawan, serta dianggap merugikan dalam kalangan peminat.
Isu konsistensi tersebut berlaku disebabkan oleh kualiti pemain dan masalah kecederaan yang melanda dalam kalangan tonggak utama, sehingga menjejaskan persiapan pasukan berkenaan.
Malah, pemain seperti Alex Agyarkwa juga kini kembali dipanggil oleh pasukan asalnya, Selangor dan ianya memberi satu masalah buat Nidzam untuk diselesaikan pada jendela perpindahan kedua.
Masalah dalam permainan Negeri Sembilan ketika ini terarah kepada,
Kerapuhan pertahanan
Kehilangan nadi utama di posisi tengah, Alex Agyarkwa
Kedalaman pemain di kawasan serangan
Apa yang dilakukan oleh Negeri Sembilan? Mereka pantas mendapatkan pemain bersesuaian untuk mengisi atau menampung posisi dan kelemahan berkenaan dengan muka-muka baharu diperkenalkan.
Kei Oshiro (pertahanan), Oday Kharoub (tengah), dan Anuar Ceesay (sayap) diperkenalkan selaku rekrut terbaharu mereka untuk mengisi segala kekosongan ditinggalkan.
Menarik untuk diperkatakan, tentunya mengenai kehadiran Kei Oshiro, selepas Negeri Sembilan menghadapi masalah yang ketara ketika Luis Enrique (pertahanan import) dibelenggu dengan isu kecederaan.
Dari sini kita dapat melihat pasukan tersebut menghadapi masalah konsistensi walaupun mereka mempunyai seorang lagi pertahanan import, Filip Andersen. Masalahnya, Filip masih belum mencukup untuk Negeri Sembilan daripada segi kualiti.
Terarah kepada Oday, beliau dianggap sebagai pengganti terbaik kepada Alex yang sudah pun tamat tempoh pinjaman beliau bersama Negeri Sembilan, untuk kembali pulang buat Selangor.
Seperti diketahui, Oday pernah menyarung jersi Kelantan DN beberapa musim lalu, dan tampil cukup menyerlah untuk mengemudi posisi tengah dan kreatif menjana siri serangan pasukan berkenaan.
Akhir sekali, tumpuan diberikan kepada bintang UM-Damansara United di pentas A1 musim ini, Anuar Ceesay yang akhirnya berjaya ditandatangani oleh Negeri Sembilan untuk bermain dalam saingan Liga Super.
Kehadiran Anuar dilihat mampu memberi keseimbangan di posisi serangan Negeri Sembilan kini yang dibarisi oleh Jovan Motika, A. Selvan, Joseph Esso, Haqimi Abdullah, Mio Tsuneyasu, serta Luqman Hakim Shamsudin.
Masih belum ada jaminan jika semua import ini bakal memberikan impak positif buat Negeri Sembilan, cuma yang pasti, mereka cepat mengenal pasti kelemahan dan kekosongan semasa untuk diisi dalam masa cukup pantas.
Aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini, bakal memberikan gambaran semasa mengenai ketiga pemain berkenaan jika mereka dipertaruhkan dalam kesebelasan utama atau dibawa masuk selaku gantian.
Pandangan anda?





