Bagaimana Masa Depan Rashford Bersama Barcelona?
Karier Marcus Rashford kini dilihat semakin menyakinkan, sejak penyertaan beliau bersama Barcelona.
Jika kita imbas pada musim lalu, prestasi Rashford sebenarnya sangat terumbang ambing, ketika bersama pasukannya, Manchester United di saingan English Premier League (EPL).
Walaupun daripada segi statistik tampak menyakinkan, impak permainan tidak konsisten daripada Rashford sendiri terdahulu menjadikan dirinya sering dikritik peminat atau pemerhati bola sepak dunia.
Perpindahan beliau pada musim ini bersama Barcelona sebenarnya telah mencetuskan pelbagai pertikaian jika pemain kebangsaan England ini mampu atau tidak untuk bangkit.
Malah, ada yang menyifatkan perpindahan secara pinjaman ini sebenarnya langsung tidak mengubah apa-apa buat karier Rashford untuk kembali bangkit atau merebut tempat di atas padang.
Tetapi sebaliknya pula berlaku, apabila pemain serangan ini tidak memerlukan masa yang lama untuk cepat memberikan impak positif buat Barcelona.
Lebih membanggakan musim ini, Rashford turut merangkul trofi sulung beliau bersama pasukan tersebut bagi kejohanan Supercoppa seleoas mereka menewaskan Real Madrid melalui keputusan 3-2.
Daripada segi statistik, Rashford pada musim ini telah merekodkan tujuh gol dan 11 ‘assist’ bersama kelab tersebut dalam semua kejohanan disertai dengan aksi yang cukup konsisten.
Peranan beliau sendiri dalam permainan dianggap cukup penting. Rashford bukan sekadar peledak gol, tetapi gerakan dan hantarannya membuka ruang buat pemain lain mendapatkan jaringan.
Daripada seorang pemain yang diragui prestasinya bersama Barcelona, kini beberapa media tempatan serta penyokong mula meletakkan cadangan supaya pemain tersebut diberi peluang jangka masa lebih panjang.
Malah produk akademi Machester United itu sendiri secara terbuka menyatakan hasrat untuk terus kekal di Catalonia kerana keselesaannya persekitaran yang membuatkan Rashford kembali meningkat.
Barcelona sendiri dilaporkan berpuas hati dengan sumbangan Rashford pada musim ini yang berjaya memberikan impak cemerlang di posisi serangan dalam semua aksi membabitkan beliau.
Malah, pihak kelab tersebut turut menghargai sikap profesionalisme tinggi dipamerkan pemain berkenaan menerusi penyesuaian Rashford bersama Barcelona serta hubungan beliau bersama rakan sepasukan dan kejurulatihan.
Sebelum ini, Man United meletakkan tanda harga sekitar €30 juta buat Rashford. Sebuah nilai yang munasabah jika kita lihat daripada segi statistik dan sumbangannya bersama Barcelona.
Cuma, keadaan kewangan Barcelona yang mungkin bakal membataskan peluang mereka untuk menandatangani khidmat Rashford secara tetap dan mereka sendiri kadangkala gemar menangguhkan hasrat sehingga ke penghujung musim.
Malah, Man United sendiri selepas ini mungkin akan memerlukan kembali khidmat Rashford selepas beberapa perubahan telah berlaku di sana dengan membabitkan masa depan pengurus baharu.
Pandangan anda, adakah Rashford akan kekal di Sepanyol, atau kembali pulang ke England bersama pasukannya, Man United semula?







