Bagaimana Kesilapan PowerPoint Buat Nike Rugi RM2.4 Bilion
Cerita tentang kesilapan PowerPoint yang mahal, yang menyebabkan Nike kehilangan Steph Curry dan RM2.4 bilion.
Steph Curry adalah apa yang peminat sukan panggil seorang ‘late bloomer’. Ketika di sekolah, dia dianggap ‘pemain tiga bintang’ (maknanya pemain sederhana). “Dari segi rupa, memang saya tak nampak [macam pemain bola keranjang],” kata pemain Golden State Warriors ini.
Sebaik sahaja habis sekolah, dia menyambung pelajaran di Davidson College, North Carolina kerana gagal mendapat biasiswa bermain di NCAA Division I. Tiga tahun bermain untuk Davidson College, hanya pada tahun terakhir pengajiannya nama Curry naik ke radar pencari bakat NBA.
Ketika Draf NBA 2009, Curry merupakan pilihan ketujuh. Pemilihnya? Golden State Warriors. Ketika mengulas keputusan Warriors memilih Curry, penganalisis bola keranjang kolej Doug Gottlieb berkata:
“[Curry] tidak mempunyai potensi besar. Ricky Rubio, Brandon Jennings, Johnny Flynn, Jeff Teague, semuanya lebih atletik.”
Kalau bola sepak sukan nombor satu anda, biar saya mudahkan pemahaman anda. Saya tanya ChatGPT:
“Jika anda perlu membandingkan Ricky Rubio, Brandon Jennings, Johnny Flynn, Jeff Teague kepada pemain bola sepak, siapa bandingan mereka?”.
Ini jawapan Chat GPT:
Ricky Rubio: Andrés Iniesta
Brandon Jennings: Raheem Sterling
Johnny Flynn: Theo Walcott
Jeff Teague: Dani Carvajal
“Siapa bandingan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam sukan bola keranjang?”
Kobe Bryant: Cristiano Ronaldo
LeBron James: Lionel Messi
Kevin Durant: Neymar Jr
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah ini paling tepat menggambarkan ‘nasib’ baik Warriors apabila memilih Curry; nasib baik yang hanya dituai selepas lima musim.
“Pada musim kelimanya (musim 2013/14) bersama Warriors, barulah Curry dapat main dalam perlawanan All Star dan dapat pencalonan anugerah NBA itu ini. Masa itu, umur dia dah nak masuk 26 tahun,” jelas OH Chee, peminat Warriors yang saya temuramah. “Pada musim keenam, barulah nama Curry meletup bila Warriors jadi juara NBA.”
Tajaan sniker Curry

Dalam NBA, ada tiga jenis perjanjian tajaan barangan sukan (termasuk sniker) antara atlet dengan jenama.
Perjanjian Signature: Perjanjian ini eksklusif untuk pemain-pemain bintang NBA sahaja (LeBron James, Kevin Durant, Damian Lillard). Biasanya perjanjian ini membayar atlet antara RM23.6 juta hingga RM70.8 juta setahun. Ada 26 pemain NBA mempunyai ‘signature sneaker’ mereka sendiri setakat ini.
Perjanjian Tunai: Ini perjanjian untuk pemain bagus tapi belum capai taraf bintang lagi (Bradley Beal & DeMar DeRozan). Biasanya perjanjian ini membayar atlet antara RM1 juta hingga RM14.2 juta setahun. Kira-kira 20% pemain NBA berada di bawah perjanjian ini.
Perjanjian Barangan: Lebih 75% pemain NBA berada di bawah perjanjian ini. Mereka tak dibayar untuk pakai jenama kasut tertentu, tapi mereka akan dapat barangan percuma dari penaja sepanjang tahun. Ia ibarat atlet dapat baucar barangan sukan bernilai RM118,000 ke atas setahun.
Ketika Curry mula-mula masuk NBA, dia menandatangani Perjanjian Tunai selama empat tahun dengan Nike. Nilainya kurang daripada RM4.7 juta setahun. Luput pada Jun 2013.
Apabila kontrak Curry dengan Nike hampir luput, output Curry sudah mula ada peningkatan. Selepas pulih daripada kecederaan buku lali pada musim sebelumnya, anak jati North Carolina itu bermain 78 daripada 82 perlawanan, menyumbang purata mata ketujuh tertinggi, dan mencipta rekod skor 3-mata paling banyak pada musim 2012/13.
Semua orang ‘berani kerat jari’ dia akan memperbaharui kontrak dengan Nike.
Sampailah Nike buat silap dalam PowerPoint mereka.
Kesilapan PowerPoint Nike
“Curry memang dah pakai sniker Nike sejak dia budak lagi,” kata OH Chee ketika mula-mula menceritakan kisah ini kepada saya. “Dia peminat Nike. Masa main di kolej, dia pakai Nike. Masa jaringkan 54 mata di Madison Square Garden, dia siap pakai Nike Zoom Hyperfuse lagi.”
Tetapi keterujaan Nike tak sama dengan Curry.
Petanda pertamanya adalah bila Nike terbang jumpa keluarga Curry tanpa Lynn Merritt. “Lynn Merritt adalah orang Nike paling penting bila nak deal dengan atlet NBA. Bila Merritt tak masuk meeting, maknanya anda bukan keutamaan Nike—macam Kobe, LeBron dan [Kevin] Durant,” jelas OH Chee.
Petanda kedua: staf Nike salah sebut nama Stephen Curry. Sepatutnya dia sebut ‘STEFF-en’. Tapi dia sebut ‘STEFF-on’. Lebih teruk lagi, staf Nike itu tak minta maaf langsung—menandakan staf Nike itu sendiri tak kenal Curry.
Petanda ketiga adalah bila Curry memutuskan dia tak mahu menyambung kontrak dengan Nike lagi. “Dalam slaid PowerPoint itu, staf Nike itu lupa nak padam nama Kevin Durant dan letak nama Steph Curry,” cerita OH Chee. “Nike memang ada kasta. Kobe, LeBron dan Durant kasta atas. Kalau Curry sambung kontrak dengan Nike, dia akan duduk kasta bawah tiga pemain itu.”
Jadi Curry mengejutkan dunia dengan mengumumkan perjanjiannya dengan Under Armour. Nilainya? RM18.9 juta setahun sehingga 2018.

Peralihan kuasa dalam dinamik Curry-Under Armour
Perlu diingat, ketika menandatangani Curry, jenama Under Armour hanya menguasai 0.35% syer pasaran sniker NBA. Sebelum Curry, atlet bola keranjang Under Armour yang paling terkenal pun adalah Brandon Jennings, Kemba Walker, Raymond Felton, and Greivis Vasques.
Pada musim Golden State Warriors bergelar juara NBA (2014/15), signature sneaker ‘The Curry One’ mencatat jualan RM722 juta dalam masa tiga bulan sahaja. Keseluruhan bisnes Under Armour mencatat peningkatan jualan sebanyak 350% berbanding tahun sebelumnya.
Takut kehilangan Curry kepada Nike, Under Armour memperbaharui kontrak perjanjian mereka. Kali ini, mereka mahu memberi lebih banyak duit (RM1 bilion) untuk mengikat Curry sehingga 2024.
Curry bersetuju.
Tetapi Under Armour sendiri bermasalah. Beberapa siri kes demi kes mahkamah yang melibatkan Under Armour telah menyebabkan reputasi jenama ini terjejas. Pelabur hilang keyakinan di pasaran saham. Jualan sniker Curry 3s terjejas.
Curry tidak gembira.
Ini kerana setakat ini, sniker beliau telah menjana pendapatan lebih daripada RM2.4 bilion kepada Under Armour.
Jadi untuk menggembirakan Curry (dan pemegang saham mereka), Under Armour melancarkan jenama Curry pada tahun 2020—satu jenama barangan sukan dan gaya hidup yang dimiliki secara bersama dengan Curry (sama macam apa yang Nike buat dengan Michael Jordan untuk menubuhkan jenama Jordan).
Selain itu, Under Armour turut menawarkan Curry pemilikan saham syarikat mereka yang bernilai RM354 juta. Saham ini hanya boleh dijual pada tahun 2029 dan 2034.
Dengan perjanjian baharu ini, Curry dijangka akan menjana pendapatan sehingga RM66 bilion—pendapatan yang Under Armour doakan akan dapat.
Jika anda suka dengan kupasan ini, sila share dengan kawan dan keluarga.





